Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke

JOHOR BAHRU – DAP menegaskan pihaknya akan terus memperkasa Bahasa Melayu seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke  malahan berkata, mana-mana pihak tidak perlu bimbang walaupun kerajaan semakin terbuka dan sudah mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC).

Malah beliau berkata, pihaknya tidak hanya akan memperkasa Bahasa Melayu tetapi semua bahasa yang digunakan rakyat negara ini.

“DAP akan perkasakan Bahasa Melayu, jangan risau kerana Bahasa Melayu adalah bahasa kebangsaan kita buat selama-lamanya.

“Kita mahu anak Malaysia bukan sahaja kuasai Bahasa Melayu, tetapi juga bahasa Inggeris, Cina, Tamil dan jika boleh bahasa Arab. Ini falsafah kerajaan Madani, ini perjuangan kita,” katanya.

Beliau berkata demikan ketika berucap pada Konvensyen Pakatan Harapan (PH) 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas pengumuman Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) bahawa calon lepasan sekolah atau institusi tahfiz serta UEC berpeluang mengikuti program tertentu yang dikenal pasti di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) susulan keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri.

Tambah Anthony, pengiktirafan sama turut dipersetujui Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin dahulu sebelum kini mereka menolaknya.

“Tetapi hanya kerajaan Madani pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang berani melakukan perkara itu. Faktanya lebih 80 peratus daripada 10,944 pelajar UEC mengambil SPM, UEC tidak akan ganti SPM, jangan salah faham.

“Saya tabik Perdana Menteri, tiada mana-mana pemimpin yang berani, dalam 10 Perdana Menteri hanya beliau seorang yang berani selesaikan perkara ini,” katanya.-  MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast