JOHOR BAHRU – Presiden parti Amanah, Datuk Seri Mohamad Sabu menggesa rakyat terus berdiri bersama Datuk Seri Anwar Ibrahim sekiranya mahu melihat negara kekal stabil dan ekonomi terus berkembang dalam suasana politik yang mencabar ketika ini.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan itu berkata, kepimpinan Anwar perlu diberikan ruang untuk meneruskan agenda pemulihan negara termasuk membantu rakyat menangani tekanan kos sara hidup dan ketidaktentuan ekonomi dunia.
Menurut beliau, banyak keputusan kerajaan ketika ini dibuat dengan penuh berhati-hati terutama melibatkan subsidi dan harga makanan supaya rakyat tidak terbeban.
“Anwar tidak buat keputusan secara melulu. Semua perkara dibincang secara mendalam kerana beliau mahu pastikan rakyat tidak terkesan,” katanya yang dikenali sebagai Mat Sabu ketika berucap pada Konvensyen Pakatan Harapan 2026 di sini petang ini.
Mohamad berkata, Perdana Menteri sentiasa memberi penekanan terhadap isu bekalan makanan dan kestabilan harga barang asas.
Katanya, kerajaan mahu memastikan sebarang pelarasan dasar tidak memberi tekanan baharu kepada rakyat khususnya golongan berpendapatan rendah.
Dalam masa sama, beliau turut mengingatkan penyokong kerajaan supaya terus memperkukuh sokongan terhadap Kerajaan Perpaduan menjelang Pilihan Raya Umum ke-16.
“Kalau kita mahu negara ini terus aman dan stabil, kita mesti pertahankan kepimpinan yang ada hari ini,” tegasnya. -MalaysiaGazette
















