Pengerusi PKR Sabah, Datuk Mustapha Sakmud berucap pada Konvensyen Pakatan Harapan 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada, Johor Bahru. Foto AIZAT ZAINAL, 17 MEI 2026.

JOHOR BAHRU – Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Sabah, Datuk Mustapha Sakmud menegaskan Kerajaan Madani merekodkan pencapaian terbesar dalam melaksanakan agenda Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) sepanjang tempoh tiga tahun mentadbir negara.

Mustapha yang juga Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi berkata, pelbagai tuntutan berkaitan hak Sabah dan Sarawak berjaya diselesaikan termasuk peningkatan peruntukan pembangunan, pengiktirafan institusi serta penyelesaian beberapa isu tertangguh di bawah MA63.

Menurutnya, PH sejak awal konsisten mengangkat agenda MA63 dalam setiap manifesto pilihan raya termasuk melalui komitmen yang termaktub dalam Perlembagaan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

“Kalau kita imbas kembali sebelum menjadi kerajaan, kita telah berjaya mendesak supaya Hari Malaysia diangkat sebagai cuti umum negara pada tahun 2009.

“Dan tahun lalu, Kerajaan Madani menambah lagi satu hari cuti sempena Hari Malaysia.

“Ini menunjukkan komitmen kita bukan sahaja sebelum menjadi kerajaan tetapi juga ketika mentadbir negara,” katanya pada Konvensyen PH dengan tema ‘Tekad Madani, Harapan Rakyat’ di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor, hari ini.

Beliau berkata, antara pencapaian terbesar kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim ialah pelantikan Timbalan Perdana Menteri pertama dari Borneo selepas pembentukan Malaysia.

Katanya, perkara itu merupakan manifesto yang sering dibawa PH setiap kali pilihan raya dan akhirnya berjaya direalisasikan selepas mengambil alih pentadbiran negara pada 2022.

Dalam pada itu, Mustapha berkata, Madani turut meningkatkan peruntukan khas interim Sabah dan Sarawak daripada hanya RM125.6 juta sebelum ini kepada RM600 juta tahun ini.

Menurut beliau, peruntukan pembangunan Sabah juga meningkat secara konsisten sejak PH mengambil alih kerajaan.

“Tahun 2022 hanya RM5.2 bilion, kemudian dinaikkan kepada RM6.5 bilion dan tahun ini meningkat lagi kepada RM6.9 bilion.

“Kerajaan Madani juga menyediakan RM1.2 bilion bagi memastikan kestabilan bekalan elektrik di Sabah serta RM1 bilion untuk isu bekalan air bersih,” ujarnya.

Beliau turut memuji usaha kerajaan mempercepatkan pelaksanaan projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah yang sebelum ini berdepan pelbagai kelewatan dan pertukaran kontraktor.

“Dalam tempoh Kerajaan Madani, hampir keseluruhan pakej Pan Borneo Sabah telah dianugerahkan dan sedang dilaksanakan. Hanya tinggal satu pakej sahaja lagi,” katanya.

Menyentuh pelaksanaan MA63, Mustapha berkata, kerajaan berjaya menyelesaikan sembilan daripada 29 tuntutan utama dalam tempoh tiga tahun berbanding hanya empat perkara diselesaikan pentadbiran terdahulu.

Katanya, antara pencapaian penting termasuk pengiktirafan Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Sabah dan Sarawak sebagai jabatan teknikal, penglibatan wakil Sabah dan Sarawak dalam Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), pengukuhan badan kehakiman Sabah dan Sarawak serta pindaan Ordinan Buruh Sabah dan Sarawak.

“Ini membuktikan Kerajaan Madani benar-benar komited memperkasa hak Sabah dan Sarawak serta memastikan semangat pembentukan Malaysia terus diperkukuhkan,” katanya lagi. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast