KUALA LUMPUR – Pelantikan Naib Presiden Pas, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar sebagai Ketua Pembangkang baharu dilihat mampu memperkukuh kedudukan Perikatan Nasional (PN) berbanding mencetuskan perpecahan dalam gabungan tersebut.
Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Terengganu, Datuk Razali Idris berkata, Samsuri memiliki beberapa kelebihan utama yang boleh menjadikan PN sebuah perikatan pembangkang lebih matang dan diyakini rakyat.
Menurut beliau, Menteri Besar Terengganu itu mempunyai imej teknokrat serta pendekatan profesional yang diterima pelbagai lapisan masyarakat berbanding gaya politik retorik dan konfrontasi.
“Kelebihan ini sangat penting untuk menarik sokongan pengundi atas pagar dan masyarakat bukan Melayu yang mahukan pembangkang yang membina, fokus kepada dasar ekonomi, dan berorientasikan penyelesaian masalah,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
PN secara rasminya melantikan Samsuri atau lebih dikenali Dr Sam sebagai Ketua Pembangkang yang baharu bagi gabungan itu menggantikan penyandangnya, Datuk Seri Hamzah Zainudin.
Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, keputusan itu dipersetujui dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi PN Kali Ke-2 yang berlangsung di sebuah hotel di Kuala Lumpur pada Sabtu.
Razali dalam pada itu berkata, latar belakang Dr. Sam sebagai bekas pensyarah aeroangkasa turut memberikan nilai tambah kepada PN kerana beliau dilihat membawa pendekatan berpandukan data dan hujah substantif ke dalam arena politik negara.
Katanya lagi, rekod pentadbiran Dr. Sam sebagai peneraju Kerajaan Negeri Terengganu juga membuktikan beliau bukan sekadar tokoh yang pandai mengkritik kerajaan, sebaliknya mempunyai pengalaman sebenar mengurus pentadbiran negeri.
“Beliau bukan sekadar pandai mengkritik, tetapi mempunyai pengalaman eksekutif sebenar mentadbir sebuah negeri.
“Ini memberikan PN ‘keabsahan’ untuk bercakap sebagai Government-in-waiting yang bersedia untuk mentadbir negara,” katanya.
Menurut Razali, hubungan baik Dr. Sam dengan kepimpinan Pas serta rakan sekutu dalam PN turut membolehkan beliau menjadi jambatan yang merapatkan hubungan antara Pas, Bersatu dan komponen lain dalam gabungan itu.
“Kehadiran beliau di kerusi Ketua Pembangkang boleh bertindak sebagai ‘gam’ yang mengukuhkan setiakawan antara Pas dan Bersatu, sekali gus menafikan naratif luar bahawa PN bakal berpecah disebabkan perebutan pengaruh,” ujarnya.
Tambah beliau, gaya debat Dr. Sam yang tenang tetapi tajam juga diyakini mampu mengangkat semula imej politik pembangkang di mata anak muda dan pengundi berpendidikan yang semakin muak dengan budaya politik maki-hamun.
“Apabila mengetuai blok pembangkang di Parlimen, beliau mampu mengangkat kualiti perdebatan menentang kerajaan menerusi kritikan dasar yang membina. Ini akan menaikkan kredibiliti PN sebagai alternatif yang matang kepada kerajaan hari ini,” katanya. – MalaysiaGazette
















