KUALA LUMPUR – Mahkamah Sesyen di sini menetapkan esok bagi sebutan kes melibatkan 11 pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM2.34 juta yang dihadapi bekas Panglima Tentera Darat, Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan dan isteri ketiganya.
Menurut semakan laman sesawang kehakiman, prosiding akan didengar di hadapan Hakim Azura Alwi bagi serahan dokumen sebelum perbicaraan secara bersama yang ditetapkan pada satu tarikh lain.
Pada 30 Mac lalu, Azura membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk memindahkan kesemua pertuduhan berkenaan ke Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur untuk perbicaraan bersama.
Timbalan Pendakwa Raya Mahadi Abdul Jumaat memohon pertuduhan yang dikenakan terhadap Muhammad Hafizuddeain di Mahkamah Sesyen Shah Alam pada 23 Januari lalu, dipindah dan digabungkan dengan empat lagi pertuduhan yang dihadapinya di sini.
Beliau turut memohon lima pertuduhan yang dikenakan terhadap isteri ketiganya, Salwani Anuar di Mahkamah Sesyen di sini dan Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu, dipindahkan ke mahkamah sama.
Katanya, permohonan memindahkan kes berkenaan dibuat mengikut peruntukan Seksyen 91 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Aktiviti Haram 2001, Seksyen 165 serta Seksyen 170 Kanun Prosedur Jenayah.
“Permohonan ini dibuat kerana kesemua pertuduhan membabitkan saksi dan fakta kes yang sama dan bagi menjimatkan masa mahkamah. Pihak pendakwaan mohon supaya dibicarakan bersama,” katanya dalam prosiding yang turut dihadiri Timbalan Pendakwa Raya Maziah Mohaide.
Pihak pembelaan bagi kedua-dua tertuduh iaitu peguam Aizul Rohan Anuar dan Fahmi Abd Moin, tidak membantah permohonan itu.
Pada 22 Januari lalu, Muhammad Hafizuddeain mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan menerima hasil aktiviti haram iaitu wang masing-masing RM969,000; RM474,850; RM488,550; dan RM190,000 yang dimasukkan ke dalam tiga akaun bank miliknya.
Pada hari sama, Salwani turut mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram berjumlah RM77,000 yang dimasukkan ke dalam akaun bank milik syarikatnya.
Keesokannya, Muhammad Hafizuddeain didakwa dua pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram berjumlah RM145,000 di Mahkamah Sesyen Shah Alam, manakala isterinya itu didakwa menerima hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM5,000 di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu.
Kesemua pertuduhan dibuat mengikut Subseksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Aktiviti Haram 2001 yang boleh dihukum mengikut Subseksyen 4(1) akta sama, jika sabit kesalahan hukuman penjara sehingga 15 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai kesalahan itu atau RM5 juta yang mana lebih tinggi. – MalaysiaGazette















