JOHOR BAHRU – Pakatan Harapan (PH) Johor perlu berhenti bermain sentimen dan mencipta persepsi negatif menggunakan isu Barisan Nasional (BN) umum tanding 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Surat, Aznan Tamin berkata, apa yang dilakukan Parti Amanah Negara (Amanah) dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) di negeri ini didakwa adalah untuk kepentingan politik sempit mereka.
“Sedangkan hakikatnya jauh lebih awal daripada itu, pimpinan Amanah Johor sendiri telah mengumumkan hasrat untuk bertanding di semua kerusi DUN tanpa menunggu rundingan mana-mana pihak.
“PKR Johor pula secara terbuka menyatakan mereka mengenal pasti 28 kerusi untuk ditandingi pada PRN akan datang.
“Jadi mengapa apabila pihak lain merancang strategi politik sendiri ia dianggap biasa, tetapi apabila BN mempertahankan hak demokrasi, ia terus dilabel sebagai pengkhianatan,” soalnya dalam satu kenyataan hari ini.
Hari ini, Naib Presiden Amanah Johor, Suhaizan Kaiat berkata, BN negeri masih mempunyai peluang terakhir untuk menimbang dan menjalin kerjasama politik dengan PH seperti yang ditawarkan Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Semalam, Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh daripada DAP dilaporkan berkata, pengumuman BN Johor bertanding di semua 56 kerusi di negeri itu merupakan satu penghinaan terhadap maruah PH.
Selain itu menerusi Konvensyen Pakatan Harapan 2026 di sini semalam beberapa pemimpin utamanya ketika berucap turut melemparkan tuduhan pengkhianatan terhadap BN Johor.
Ini susulan pengumuman Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, kelmarin, bahawa BN Johor bertanding di semua 56 kerusi DUN pada PRN Johor akan datang.
Aznan yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Pengerang menasihatkan rakyat Johor agar tidak mudah diperdaya dengan permainan persepsi politik seperti itu.
Beliau hairan kerana apabila Onn Hafiz menyatakan kesediaan bertanding di semua 56 kerusi DUN demi mempertahankan mandat rakyat dan kestabilan negeri, tiba-tiba BN dituduh sebagai pengkhianat.
“Jangan lupa kerajaan negeri hari ini terbina atas mandat jelas rakyat Johor pada PRN 2022. Rakyat memilih kestabilan. Rakyat memilih kepimpinan yang bekerja.
“Sehingga hari ini, barisan Exco yang memikul amanah mentadbir negeri ini terdiri daripada wakil rakyat BN yang terus turun padang menyelesaikan isu rakyat tanpa mengira fahaman politik,” katanya.
Mengulas lanjut, Aznan berkata, dalam demokrasi, bertanding dalam pilihan raya bukan satu dosa dan bukan juga satu pengkhianatan.
Tambahnya, apa yang menentukan masa depan Johor bukan parti politik, tetapi suara rakyat menerusi peti undi.
“Cukuplah bermain sentimen dan mencipta persepsi demi kepentingan politik sempit. Rakyat Johor hari ini semakin matang menilai. Mereka tidak mahu politik kebencian, mereka mahu pemimpin yang bekerja,” ujar beliau.
Tegas Exco Pendidikan dan Penerangan negeri itu, rakyat mahu masalah seperti kerosakan jalan diselesai, peluang pekerjaan diperluas, pendidikan diperkasa dan kebajikan mereka terus dibela.
“Soal siapa bertanding di mana boleh dibincangkan apabila tiba waktunya. Tetapi hari ini, keutamaan kita adalah memastikan amanah rakyat terus dipikul dengan penuh tanggungjawab demi masa depan Bangsa Johor.
“Politik boleh datang dan pergi, tetapi kepentingan rakyat mesti sentiasa menjadi keutamaan,” katanya lagi.- MalaysiaGazette
















