Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul pada Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat Parlimen Ke-15 di bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. Foto JABATAN PENERANGAN MALAYSIA, 11 NOVEMBER 2025.

KUALA LUMPUR – Pejabat Yang di-Pertua Dewan Rakyat mengesahkan belum menerima sebarang pemakluman rasmi berhubung pengosongan kerusi Parlimen Pandan dan Setiawangsa oleh dua bekas pemimpin kanan PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad.

Perkara itu sekali gus menimbulkan tanda tanya apabila kedua-dua Ahli Parlimen terbabit sebelum ini mengumumkan akan mengosongkan kerusi masing-masing berkuat kuasa hari ini.

Jurucakap Pejabat Speaker Dewan Rakyat berkata, setakat ini tiada sebarang surat rasmi diterima termasuk daripada Setiausaha Agung PKR berkaitan perkara berkenaan.

“Belum lagi. Pemakluman daripada Setiausaha Agung PKR pun belum diterima,” katanya ringkas hari ini.

Semalam, Rafizi dan Nik Nazmi dilaporkan akan memaklumkan pengosongan kerusi Parlimen mereka kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul hari ini.

Langkah itu dibuat selepas kedua-duanya mengumumkan keluar daripada PKR dan bakal menyertai Parti Bersama Malaysia, Selasa depan.

Tindakan dramatik dua pemimpin kanan itu terus menghangatkan suhu politik negara apabila PKR semalam turut mengesahkan keanggotaan Rafizi dan Nik Nazmi gugur secara automatik selepas mereka mengisytiharkan keluar parti.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Dr Fuziah Salleh berkata, keputusan itu dibuat mengikut Fasal 9(1)(c) Perlembagaan parti selepas pihaknya menerima hasrat rasmi kedua-dua pemimpin tersebut untuk meninggalkan PKR.

Perkembangan terbaharu itu juga mencetuskan spekulasi mengenai kemungkinan Pilihan Raya Kecil (PRK) di Pandan dan Setiawangsa sekiranya proses pengosongan kerusi dimuktamadkan dalam masa terdekat. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast