KULAI – Seorang kelindan maut selepas lori dinaiki terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kereta dan van dalam kejadian di Kilometer 19.9 Lebuhraya Utara Selatan, arah utara di sini awal pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Kulai, Asisten Komisioner Tan Seng Lee berkata, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai menerima panggilan berhubung kejadian tersebut pukul 3.40 pagi.
“Kemalangan dipercayai berlaku apabila lori yang dipandu seorang lelaki tempatan berumur 30 tahun bersama-sama penumpang seorang lelaki tempatan berumur 39 tahun mengubah haluan dari lorong kiri ke lorong kanan.
“Lori berkenaan kemudian dilanggar sebuah kereta yang dipandu seorang lelaki tempatan berumur 27 tahun dari arah belakang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, perlanggaran tersebut menyebabkan lori terbabas ke kanan seterusnya melanggar besi pembahagi jalan dan tiang papan tanda di tengah jalan.
Katanya, akibat perlanggaran itu, besi pembahagi jalan yang patah masuk ke laluan bertentangan dan dilanggar pula van yang dipandu oleh seorang wanita tempatan berumur 35 tahun.
Beliau memberitahu, akibat kemalangan tersebut penumpang lori mengalami kecederaan parah pada bahagian badan dan disahkan meninggal dunia semasa menerima rawatan di Hospital Kulai.
Sementara itu, katanya, pemandu lori serta pemandu kereta mengalami kecederaan ringan dan dibawa ke Hospital Kulai untuk menerima rawatan manakala pemandu van tidak mengalami kecederaan.
Tambahnya, kes disiasat bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kemalangan tersebut boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Ahmad Safuan Abu Naim di talian 017-7573507.- MalaysiaGazette















