KUALA LUMPUR – Perkhidmatan tren Laluan Kelana Jaya sedang mengalami kelewatan pagi ini akibat gangguan teknikal melibatkan sebuah tren di Stesen Kelana Jaya.
Rapid KL memaklumkan, gangguan itu berpunca daripada kerosakan komponen tren yang menyebabkan perkhidmatan tersebut tidak dapat bergerak di Stesen Kelana Jaya.
Berikutan itu, katanya, pihak operasi telah mengaktifkan perkhidmatan tren alternatif dan bas perantara bagi membantu pengguna meneruskan perjalanan.

“Disebabkan gangguan operasi ini, penumpang dijangka mengalami waktu menunggu yang lebih lama di platform, terutamanya di Stesen Ara Damansara dan Stesen Kelana Jaya.
“Penumpang dinasihatkan untuk menggunakan laluan alternatif bagi meneruskan perjalanan ke destinasi masing-masing, seperti Laluan Ampang/Sri Petaling, Laluan Kajang dan Laluan Putrajaya,” katanya dalam satu kenyataan pagi ini.
Tambah kenyataan itu, pasukan teknikal kini berada di lokasi untuk menjalankan kerja-kerja baik pulih bagi memulihkan operasi normal secepat mungkin.
Katanya, bagi memastikan keselamatan dan kelancaran pergerakan penumpang, anggota polis antuan dan petugas stesen ditempatkan di platform dan ruang legar stesen untuk membantu penumpang.
“Pengumuman berkala mengenai jadual perjalanan tren turut dibuat di stesen.
“Penumpang disarankan merujuk pada laman media sosial Rapid KL atau aplikasi perjalanan MyRapid PULSE untuk status terkini perkhidmatan Laluan Kelana Jaya,” katanya. – MalaysiaGzette
















