GEORGE TOWN – Sektor pelancongan perubatan di Malaysia terus berkembang dan kekal menerima permintaan tinggi daripada pesakit luar negara meskipun pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) enam peratus ke atas perkhidmatan kesihatan terpilih.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, Malaysia masih menawarkan perkhidmatan kesihatan yang munasabah dan berkualiti sekali gus menarik kehadiran pelancong perubatan ke negara ini.
Menurutnya, hospital swasta di Pulau Pinang, Johor dan Lembah Klang turut merekodkan peningkatan permintaan daripada pesakit luar negara.
“Kalau datang ke hospital di Pulau Pinang, ramai pesakit sebenarnya dari luar negara kerana Malaysia masih menyediakan perkhidmatan kesihatan yang munasabah dan sangat baik.
“Kalau pergi ke hospital di Johor atau Lembah Klang, kita juga dapat lihat permintaan daripada pelancong asing untuk mendapatkan perkhidmatan perubatan terus meningkat,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Projek Intel Pelican di Bayan Lepas di sini, hari ini.
Beliau berkata, sektor pelancongan perubatan merupakan ruang yang sedang berkembang dan perlu terus disokong.
“Saya fikir ini adalah ruang yang sedang berkembang dan perlu terus kita sokong,” katanya.
Mengulas pelaksanaan SST, Amir Hamzah berkata, cukai itu diperkenalkan bagi meningkatkan hasil kerajaan dan menambah ruang fiskal negara.
Menurutnya, kerajaan turut memastikan pelaksanaan SST tidak menjejaskan rakyat melalui beberapa pengecualian yang diberikan.
“SST dilaksanakan untuk meningkatkan hasil kerajaan dan menambah ruang fiskal kerajaan yang menjadi keutamaan sejak beberapa tahun lalu.
“Tetapi lebih penting, dalam pelaksanaannya kita pastikan ia tidak menjejaskan rakyat yang memerlukan. Sebab itu ada pengecualian dan pengasingan tertentu diberikan,” katanya.
Tambah beliau, hasil kutipan SST dimasukkan ke dalam kumpulan wang disatukan kerajaan bagi menyokong perbelanjaan fiskal kerajaan.
Katanya, hanya beberapa cukai tertentu seperti cukai gula diasingkan khusus untuk tujuan intervensi kesihatan berkaitan penyakit seperti diabetes dan buah pinggang.
“Bagi kutipan SST, hasil itu dimasukkan ke dalam kumpulan wang disatukan dan digunakan untuk menyokong perbelanjaan fiskal kerajaan.
“Kita hanya membuat pengasingan khusus dalam beberapa perkara seperti cukai gula yang dinaikkan tahun lalu untuk intervensi berkaitan penyakit diabetes, buah pinggang dan sebagainya,” katanya. – MalaysiaGazette
















