Fadzmel Fadzil
Fadzmel Fadzil

KUALA LUMPUR – Kenyataan terbaharu Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad mengenai perjalanan politiknya mengundang reaksi sinis daripada Ketua Pemuda UMNO Setiawangsa, Fadzmel Fadzil.

Fadzmel berkata, beliau mengikuti dengan teliti luahan Nik Nazmi yang menyentuh perjuangan reformasi serta keputusan meninggalkan perjuangan lama kerana mendakwa reformasi kini hanya tinggal janji.

Namun menurutnya, terdapat satu kebetulan menarik apabila suara sedemikian hanya benar-benar kedengaran selepas Nik Nazmi tidak lagi memegang jawatan Naib Presiden PKR dan kini mengorak langkah politik baharu dengan Parti Bersama Malaysia.

“Dalam politik, mungkin itu lumrah. Ada prinsip yang lantang ketika menang, ada pula yang lebih jelas kedengaran selepas hilang kedudukan,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Beliau turut menyindir bahawa ada pihak yang berdegar-degar ketika menjadi pembangkang, namun dilihat lesu dari segi pemikiran apabila sudah berada dalam jawatan.

Pada masa sama, Fadzmel menegaskan beliau tidak berhasrat mengulas panjang mengenai urusan dalaman parti lain, namun mengakui ramai penduduk Setiawangsa mula bertanya mengenai kedudukan Nik Nazmi di kawasan itu.

Menurutnya, rakyat wajar menilai sendiri rekod prestasi Nik Nazmi sejak tahun 2018 kerana rekod tidak boleh “disolek” dengan mudah dalam politik.

“Dalam politik, apa yang dibuat rakyat tahu, dan apa yang tidak dibuat pun rakyat tahu,” katanya lagi.

Fadzmel turut mengingatkan bahawa kerusi Parlimen bukan milik mana-mana individu, sebaliknya merupakan amanah rakyat yang perlu diurus secara serius dan berlandaskan proses Perlembagaan.

Semalam, Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli dan Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad mengumumkan peletakan jawatan masing-masing sebagai Ahli Parlimen berkuat kuasa hari ini.

Bekas Timbalan Presiden PKR dan bekas Naib Presiden PKR itu turut mengumumkan keluar daripada parti itu berkuat kuasa esok, melalui surat kepada Setiausaha Agung parti berkenaan.

Langkah itu dibuat selepas kedua-duanya mengumumkan bakal menyertai Parti Bersama Malaysia, esok. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast