Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Perkhidmatan tren Laluan Kelana Jaya telah kembali normal bermula jam 1.31 tengah hari tadi, selepas gangguan teknikal yang melibatkan sebuah tren di Stesen Kelana Jaya pada pagi tadi.

Rapid KL dalam satu kenyataan memaklumkan, tren yang terlibat telah dikeluarkan daripada perkhidmatan dan siasatan terperinci untuk mengenal pasti punca gangguan akan dilaksanakan pada waktu kejuruteraan pada malam ini, selepas tamat operasi.

Sehubungan itu, ujarnya, perkhidmatan bas perantara ulang-alik percuma juga ditamatkan, namun kakitangan tambahan akan terus ditempatkan stesen-stesen utama untuk memberikan bantuan dan sokongan kepada penumpang.

Dalam masa sama, tambahna, penumpang disarankan merujuk pada laman media sosial Rapid KL atau aplikasi perjalanan MyRapid PULSE untuk sebarang maklumat terkini perkhidmatan.

“Rapid KL memohon maaf diatas kesulitan yang dialami oleh para penumpang yang terjejas akibat gangguan ini, dan memberi jaminan bahawa keselamatan para penumpang adalah menjadi keutamaan pihak operasi,” katanya.

Awal pagi tadi, perkhidmatan tren Laluan Kelana Jaya mengalami kelewatan akibat gangguan teknikal melibatkan sebuah tren di Stesen Kelana Jaya.

Rapid KL memaklumkan, gangguan itu berpunca daripada kerosakan komponen tren yang menyebabkan perkhidmatan tersebut tidak dapat bergerak di Stesen Kelana Jaya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast