KUALA LUMPUR – Polis sedang giat mengesan sekumpulan individu yang membuat aksi berbahaya dengan membakar suar (flare) di atas sebuah pancuan empat roda di Jalan Sultan Ismail berhampiran sebuah restoran makanan segera di Bukit Bintang, di sini awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sazalee Adam berkata, pihaknya telah mengesan video tular di aplikasi Threads memaparkan kumpulan konvoi itu menaiki sebuah Toyota Hilux dan dua motosikal ‘scrambler‘ elektrik.
“Hasil siasatan awal mendapati, kejadian berlaku sekitar jam 2 pagi tadi menunjukkan beberapa individu terbabit membakar suar di atas Hilux di tengah jalan berhampiran sebuah restoran makanan segera di Bukit Bintang.
“Perbuatan itu boleh mengancam halangan awam dan keselamatan awam pengunjung serta menjejaskan ketenteraman penduduk dan peniaga di sekitar kawasan tumpuan pelancong tersebut,” katanya dalam sidang media khas di sini hari ini.

Tambah beliau, hasil pemeriksaan lanjut mendapati kumpulan terbabit dipercayai berlegar di sekitar kawasan Bukit Bintang sebelum video berdurasi enam hingga 10 minit itu dimuat naik di media sosial.
“Kita juga telah mengesan sebuah premis dipercayai menggunakan modus operandi seakan itu bagi mempromosikan pakaian disyaki beroperasi di Dengkil, Selangor dan akan memanggil pihak terlibat bagi membantu siasatan
“Malah kita turut mengesan terdapat kain rentang memaparkan nombor ‘6.6’, namun maksud sebenar tulisan berkenaan masih dalam siasatan,” jelasnya.
Jelasnya, semakan mendapati terdapat kira-kira tujuh hingga lapan orang disyaki menaiki Hilux terbabit dan menunggang motosikal ‘scrambler‘ dengan tanpa nombor pendaftaran.
“Susulan itu, kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 290 Kanun Keseksaan, Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987 berkaitan kesalahan lalu lintas dan pemanduan berbahaya,” ujarnya.
Tegas Sazalee, pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang mengambil kesempatan menganjurkan aktiviti sehingga boleh menjejaskan imej negara dan keselamatan awam.
Dalam pada itu, beliau turut menyeru individu yang terlibat supaya tampil menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi bagi membantu siasatan.
Pada masa sama, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi pihak polis bagi membantu siasatan lanjut. – MalaysiaGazette
















