KUALA LUMPUR – Setiausaha Wanita Keadilan, Sangetha Jayakumar menyifatkan tindakan Datuk Seri Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad semalam jelas memperlihatkan kegagalan dalam menterjemahkan tanggungjawab mereka kepada rakyat yang terkesan.
Menurutnya, tindakan dua Ahli Parlimen berkenaan dibuat di tengah-tengah kegetiran rakyat mengharungi gelombang krisis bekalan global yang menghimpit kos sara hidup.
Kata beliau, rakyat seolah-olah dibiarkan terkapar-kapar menguruskan kelangsungan hidup sendiri, sementara kepimpinan yang sepatutnya menjadi perisai utama memilih untuk bersikap selfish dan mementingkan diri.
“Sikap mementingkan diri ini terserlah apabila fokus mereka lebih terarah kepada agenda politik kepuakan, survival kedudukan, dan justifikasi teori-teori ekonomi di atas kertas yang langsung tidak berpijak di bumi nyata.
“Daripada merangka pelan intervensi yang tuntas, berani, dan menyeluruh untuk meringankan beban rakyat jelata, mereka lebih selesa menuding jari, memberikan alasan makroekonomi yang meleret, serta mempamerkan keangkuhan elit seolah-olah keluhan rakyat ini hanyalah isu kecil yang terpencil,” katanya menerusi Facebook semalam.
Semalam, Rafizi dan Nik Nazmi masing-masing mengumumkan mengosongkan kerusi Parlimen Pandan dan Setiawangsa, sekali gus keluar daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Serentak itu, mereka turut mengumumkan penyertaan ke dalam Parti Bersama Malaysia berkuat kuasa esok. – MalaysiaGazette
















