KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Ampang, Rodziah Ismail digesa supaya mengosongkan kerusi tersebut selepas didakwa tidak mencerminkan semangat perjuangan dan kesetiaan kepada pimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Timbalan Ketua Cabang PKR Ampang, Daing Muhammad Redzuan Bachok berkata, tindakan Rodziah yang dilihat semakin menjauh daripada pendirian dan kepimpinan utama sejak kebelakangan ini mencetuskan keresahan besar dalam kalangan ahli serta penyokong parti di peringkat akar umbi.
Tegasnya, sebarang tindakan yang menggugat kesatuan parti, melemahkan keyakinan rakyat atau bercanggah dengan semangat perjuangan reformasi amat mengecewakan dan tidak boleh diterima.
“PKR Cabang Ampang tidak akan sesekali tunduk kepada pengkhianatan politik. Kami akan terus bangkit mempertahankan parti, Presiden (Datuk Seri Anwar Ibrahim) dan mandat rakyat daripada mana-mana pihak yang cuba merosakkan perjuangan reformasi demi kepentingan politik peribadi,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Katanya, tindakan Rodziah hanya akan menguatkan persepsi bahawa wujud usaha untuk melemahkan perjuangan dari dalam.
Beliau berkata, akar umbi cabang PKR Ampang kekal teguh bersama kepimpinan Anwar dan tidak akan sesekali berkompromi dengan mana-mana tindakan yang boleh menggugat kestabilan parti serta merosakkan keyakinan rakyat terhadap perjuangan reformasi.
“Rakyat Ampang memberikan mandat kepada PKR dan Pakatan Harapan (PH) bukan untuk melihat parti dirosakkan oleh permainan politik dalaman, percaturan kelompok, atau tindakan mana-mana individu yang gagal mempertahankan kesetiaan kepada perjuangan parti.
“Mandat ini lahir daripada pengorbanan akar umbi, kesetiaan anggota parti, dan keyakinan rakyat terhadap agenda Reformasi yang dipimpin oleh Anwar,” tambahnya.
Semalam, Rodziah antara pemimpin PKR yang hadir pada majlis pengumuman hala tuju politik bekas Timbalan Presiden, Datuk Seri Rafizi Ramli dan bekas Naib Presiden PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad. – MalaysiaGazette















