BUKIT MERTAJAM – Sambutan Hari Guru tahun ini memberi makna cukup istimewa buat Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong apabila berpeluang kembali bertemu guru-guru lamanya dari Sekolah Kebangsaan Stowell hingga High School Bukit Mertajam selepas lebih tiga dekad tidak bersua.
Beliau berkata, pertemuan itu mengimbau semula perjalanan awal pendidikan yang banyak membentuk disiplin, jati diri dan hala tuju kehidupannya hingga ke hari ini.
Katanya, antara guru yang paling memberi kesan dalam hidupnya ialah Cikgu Idrus Ibrahim yang juga abang kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta pernah berkhidmat sebagai Guru Besar di Sekolah Rendah Stowell ketika beliau bersekolah di situ.
“Saya ingat lagi cikgu Bahasa Melayu pertama masa darjah satu, Puan Zaniyah. Cara dia ajar saya baca, tulis sampai saya boleh kuasai bahasa Melayu. Cikgu Zahiri pula yang mula ajar saya berpantun dan bersajak.
“Nilai yang diterapkan oleh guru-guru berkenaan kekal menjadi pegangan hidup saya sehingga kini, khususnya dalam mengurus tanggungjawab dan membuat keputusan dengan lebih berdisiplin.
“Saya nak ucap setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua cikgu-cikgu lama saya dari Stowell sampai la ke High School Bukit Mertajam. Depa lah yang ajar saya menulis, membaca, berbahasa sampai saya jadi orang pada hari ni,” tulisnya di Facebook.
Steven berkata, majlis tersebut turut mempertemukan beliau semula dengan beberapa guru lain yang banyak berjasa termasuk Puan Rohana (guru komputer), Cikgu Osman Besar dan Cikgu Osman Kecil, yang masing-masing meninggalkan kenangan tersendiri sepanjang tempoh persekolahan.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua guru lamanya yang hadir kerana memberi ruang untuk mereka kembali bersua selepas sekian lama berpisah serta menghidupkan semula kenangan lama di bangku sekolah. – MalaysiaGazette















