Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) PDRM, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri menunjukkan visual yang memaparkan daging sejuk beku yang berjaya dirampas pada sidang media Op Taring Chiller di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 18 MEI 2026.

KUALA LUMPUR – Taktik licik sindiket yang menjalankan penyeludupan dan bercampur status halal terbongkar dengan rampasan bernilai RM12.4 juta menerusi Ops Taring Chiller di sebuah premis di sekitar Kajang, Selangor.

Operasi sekitar jam 8 malam pada 14 Mei hingga 2 petang, 15 Mei lalu dilaksanakan oleh pasukan WCB/PSK, Bahagian Pasuka Gerakan. Am (PGA), Jabatan Keselamatan dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman bersama Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Kuala Lumpur, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan Majlis Perbandaran Kajang (MPK).

Pengarah KDNKA, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, dalam serbuan itu pelbagai jenis kotak karkas daging Khinzir, kepak ayam dan itik yang dirampas dipercayai diimport dari China, Brazil dan Argentina menggunakan kaedah pengisytiharan palsu.

“Siasatan mendapati, premis ini disyaki menjalankan aktiviti penyimpanan, penjualan dan pengedaran makanan sejuk beku yang menyalahi undang-undang.

“Dalam serbuan ini, kita telah menahan lima individu melibatkan seorang lelaki tempatn dan empat lelaki warga Myanmar berusia antara 21 hingga 43 tahun.

“Mereka bertindak sebagai penjaga stor, pemandu, penghantar dengan menerima kadar upah kira-kira RM2,000,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) PDRM, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri bercakap pada sidang media Op Taring Chiller di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 18 MEI 2026.

Tambahnya, antara rampasan yang dilakukan membabitkan 4,840 karton karkas khinzir, 410 karton kepak ayam dan 115 karton itik dengan jumlah keseluruhan seberat 167,143 kilogram (kg) bernilai RM12.4 juta.

“Siasatan mendapati, premis terbabit sudah beroperasi kira-kira empat tahun dan berdaftar di bawah Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) sehingga 5 April 2031 untuk aktiviti penyimpanan produk sejuk beku.

“Modus operandi sindiket ini adalah berselidung perniagaan makanan sejuk beku dengan menjalankan aktivti penyeludupan produk import yang tidak diiktiraf serta kegiatan produk halal dan tidak halal.

“Semakan lanjut mendapati, sindiket ini dipercayai melakukan pembungkusan semula produk kepada kuantiti lebih kecil menggunakan pelbagai jenama sebelum dipasarkan di seluruh Malaysia,” jelasnya.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) PDRM, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri bercakap pada sidang media Op Taring Chiller di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 18 MEI 2026.

Mohd Yusri menambah, kegiatan itu dipercayai didalangi sindiket yang mempunyai rangkaian tertentu dan siasatan lanjut sedang dijalankan bahi mengenal pasti dalang utama serta rangkaian pengedarannya.

“Kesemua produk rampasan ini dipercayai di bawa masuk dari selatan tanah air malah barangan tersebut dikesan tidak mempunyai sijil halal yang diiktiraf serta meragukan.

“Bagaimanapun, kita akan bekerjasama dengan JPV Kuala Lumpur bersama JAIS Selangor bagi mengesan lokasi bekalan produk ini dipasarkan,”ujarnya.

Beliau berkata, antara kesalahan yang dikesan termasuk Akta Imigresen 1959/63 kerana menggajikan pekerja asing tanpa permit, Perenggan 5(2) Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011 dan Peremggan 3(1) (g) Perintah Perihal Dagangan (Takrif Halal) 2011.

Selain itu turut dikesan di bawah Seksyen 3, Undang-Undang Kecil Pelesenan Tred, Perniagaan Majlis Perbandaran Kajang kerana menjalankan perniagaan bukan di lokasi berkenaan.

Dalam perkembangan berasingan, WCB/PSK telah merekodkan lapan kes dengan 52 tangkapan membabitkan rampasan bernilai RM15.1 juta bermula Januari hingga 15 Mei lalu menerusi Op Taring Chiller.

Bagi keseluruhan kes yang direkodkan JKDNKA pula, Mohd Yusri berkata, 88 kes dicatatkan dengan tangkapan 153 individu serta bernilai kira-kira RM157.39 juta. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast