Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary

KUALA LUMPUR – Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary muncul sebagai pemegang saham utama menerusi kepentingan tidak langsung dalam Eco World Development Group (EcoWorld).

Syarikat hartanah ternama itu dalam kenyataannya berkata, penstrukturan terbaharu itu susulan pemindahan semua saham milik Datuk Leong Kok Wah dalam Syabas Tropikal Sdn. Bhd.

Untuk rekod, Syabas Tropikal memiliki sepenuhnya Sinarmas Harta Sdn Bhd, yang memegang 969.9 juta saham EcoWorld, bersamaan kira-kira 30.1 peratus daripada modal saham terbitan EcoWorld.

Pengerusi Eksekutif EcoWorld, Liew Kee Sin merakamkan penghargaan kepada Kok Wah atas sokongan berterusan sepanjang 13 tahun lalu, sambil mengalu-alukan Syed Mokhtar sebagai pemegang saham utama baharu EcoWorld.

“Kami berharap dapat bekerjasama dengannya untuk membawa EcoWorld ke tahap yang lebih tinggi pada tahun-tahun akan datang,” katanya.

EcoWorld kini memiliki kira-kira 4,770 hektar simpanan tanah di Lembah Klang, Iskandar Malaysia, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan, dengan anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) keseluruhan sebanyak RM100 bilion.

Syarikat itu mempunyai lima teras pendapatan utama yang bersaiz besar dan pelbagai, iaitu Eco Townships, Eco Rise, Eco Hubs, Eco Business Parks dan QUANTUM, membolehkannya memenuhi semua segmen pasaran hartanah.

Melalui projek yang dilaksanakan oleh EWI Capital dari 2015 hingga 2025, jenama EcoWorld turut meluaskan kehadirannya ke United Kingdom dan Australia.

Syed Mokhtar merupakan antara tokoh korporat dan dermawan paling berpengaruh di Malaysia, dengan Forbes menganggarkan nilai kekayaannya sekitar AS$3.5 bilion dalam senarai terkini.

Beliau dikenali sebagai individu berprofil rendah tetapi sangat berpengaruh dalam sektor korporat, dengan empayar perniagaan yang merangkumi infrastruktur, pelabuhan, logistik, pembuatan dan automotif.

Jejak korporat beliau diperkukuhkan menerusi syarikat tersenarai utama seperti MMC Corporation dan DRB-HICOM, yang menjadi tunjang kepada pegangan strategiknya dalam ekosistem industri dan pengangkutan Malaysia. -MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast