KUALA LUMPUR – Kerajaan digesa agar tidak meminggirkan pelajar yang setia berada di dalam sistem pendidikan kebangsaan demi memberi laluan kepada pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC).
Felo Kanan Majlis Profesor Negara, Prof Emeritus Datuk Dr Teo Kok Seong mengibaratkan tindakan membuka kuota institusi pengajian tinggi awam (IPTA) yang sedia terhad kepada pemegang sijil selain sistem kebangsaan sebagai satu bentuk ketidakadilan yang nyata.
“Janganlah kita hakis pepatah ini ‘puas sudah menabur budi, emas juga dipandang orang.
“Kita tak nak begitu, kita nak mereka ini menabur budi, kita jaga… dan kalau kita buka tempat yang sudah terhad ini, lebih kurang menyusu beruk di hutan dah, anak sendiri kelaparan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjadi panel program SKOP MG dengan tajuk `Apa Sebenarnya UEC: Mengapa Ia Ditentang’ bersama Ahli Jawatankuasa Tertinggi Pusat DAP, Howard Lee hari ini.
Kok Seong berkata, tempat pengajian di IPTA terutamanya bagi kursus kritikal seperti perubatan adalah sangat terhad dan sewajarnya diutamakan kepada mereka yang kekal dalam sistem arus perdana dari awal hingga akhir.
“Keutamaan harus diberikan kepada pelajar yang sanggup bertahan di dalam sistem kebangsaan, termasuk pelajar masyarakat Cina yang beralih ke Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) atau Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) selepas tamat pengajian di sekolah vernakular.
“For whatever reason, for better or for worse, mereka sanggup berada di situ.
“Jadi bagi saya, tempat-tempat di IPTA kita ini, khususnya untuk kursus-kursus kritikal perubatan dan sebagainya, sangat-sangat terhad. Kita gunakanlah konsep affirmative action (tindakan afirmatif), polisi dan amalan untuk melindungi mereka ini,” katanya lagi.

Beliau menambah mengenai sumbangan besar pelajar bukan Melayu, khususnya kaum Cina, yang disifatkannya sebagai ‘penyelamat’ kepada kelangsungan aliran Sains Tingkatan 6 Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) di negara ini.
“Ketiadaan pelajar Melayu yang majoritinya disalurkan ke program matrikulasi menyebabkan aliran Sains STPM kini digerakkan dan dipertahankan oleh pelajar bukan Melayu, malah untuk STPM aliran Sains itu, kalau bukan kerana pelajar-pelajar bukan Melayu, khususnya Cina, sudah lama terkubur aliran Sains STPM.
“Pada satu waktu dahulu, apabila aliran Sains STPM itu dalam Bahasa Melayu, anak-anak Cina yang tak boleh berbahasa Melayu dengan baik ni, mereka stay put memartabatkan bahasa Melayu.
“Sekarang Tingkatan 6 guna Bahasa Inggeris, mereka mempertahankan STPM aliran Sains. Kalau tak sebab mereka, dah lama terkubur,” ujarnya.
Tambah beliau, pendekatan tindakan afirmatif sangat kritikal untuk melindungi kumpulan pelajar kebangsaan ini daripada dikhianati.
“Jadi atas nama tindakan afirmatif, polisi ini kita buat, amalan ini kita buat untuk jaga, melindungi mereka ini yang sanggup berada di dalam sistem kita yang tidak diyakini oleh pihak-pihak tertentu itu.
“Kalau kita tak jaga mereka ini, kita zalim, kita khianati mereka,” tegas beliau. – MalaysiaGazette
















