Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad pada prosiding perbicaraan kes atas tiga pertuduhan bersubahat memperoleh rasuah berjumlah RM2.8 juta di Mahkamah Sesyen, Kuala Lumpur. Foto MUHAIMIN MARWAN, 05 MAC 2026. (GAMBAR FAIL)

KUALA LUMPUR – Pihak pembelaan berhujah di Mahkamah Sesyen hari ini, wang pengenalan RM2.8 juta yang diterima Datin Seri Zizie Izette A. Samad daripada dua ejen pelaburan, bukan satu kesalahan di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Peguam M. Athimulan berhujah, tiada salahnya wang itu diterima tertuduh kedua lebih-lebih lagi ejen pelaburan Madhi Abdul Hamid dan Norhaili Ahmad Moktar sendiri menyatakan wang tersebut diberikan secara sukarela sebagai strategi pelaburan.

Hujah beliau, Norhaili dalam keterangannya sendiri menyatakan amalan memberi wang pengenalan merupakan strategi pemasarannya selaku ejen pelaburan utama Public Mutual Berhad selama 13 tahun berturut-turut.

Oleh yang demikian, pembelaan menghujahkan, tiada bukti menunjukkan wang pengenalan yang diterima itu boleh dikaitkan dengan perbuatan rasuah kerana ia merupakan strategi Norhaili untuk meneroka hubungan baharu dalam pelaburan unit amanah.

Mahkamah sedang mendengar penghujahan akhir kes pembelaan Zizie Izette, 48, atas tiga pertuduhan bersubahat dengan suaminya, Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin memperoleh suapan berjumlah RM2.8 juta bagi mendapatkan kelulusan Felcra Berhad melabur RM150 juta dalam produk unit amanah Public Mutual Berhad.

Athimulan selanjutnya menghujahkan, meskipun pada perbicaraan lalu, Madhi (saksi pendakwaan ke-24) dan Norhaili (saksi pendakwaan ke-25) diisytiharkan sebagai saksi belot (hostile witness), namun yang lebih penting adalah kredibiliti kedua-duanya tidak dicabar.

Hujah beliau, keterangan lisan kedua-duanya kekal konsisten dengan kes pembelaan bahawa tiada elemen rasuah terhadap Zizie Izette yang juga balu Allahyarham Bung Moktar.

Selain itu, pembelaan turut menghujahkan, kedua-dua tertuduh menegaskan secara konsisten bahawa mereka tidak campur tangan atau mempunyai pengetahuan terhadap bidang tugas atau urusan kewangan peribadi masing-masing.

“Tertuduh pertama dan tertuduh kedua menyatakan dengan jelas bahawa mereka tidak berkongsi atau mencampuradukkan hal ehwal kewangan dan tidak tahu butiran kewangan masing-masing,” hujahnya.

Menurut pembelaan, tiada rantaian keterangan bagi membuktikan Zizie Izette mempengaruhi suaminya untuk mendapatkan kelulusan Menteri Kewangan II bagi memboehkan Felcra melabur RM150 juta dalam produk unit amanah Public Mutual Berhad.

Menurut Athimulan, pendakwaan gagal membuktikan bahawa Allahyarham Bung Moktar mempunyai kedudukan untuk mendapatkan atau meluluskan pelaburan atas kapasitinya sebagai Pengerusi Bukan Eksekutif Felcra Berhad.

Hujah beliau, peranannya terhad kepada tugas rasminya (mempengerusikan mesyuarat Lembaga Pengarah dan menandatangani surat yang disediakan oleh pengurusan Felcra Bhd) manakala kelulusan akhir merupakan kuasa Menteri Kewangan II.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Law Chin Now berhujah, keterangan Zizie Izette bahawa wang RM2.8 juta yang diterimanya merupakan wang pengenalan, adalah tidak masuk akal.

Beliau berhujah, meskipun tertuduh kedua menyatakan wang tersebut merupakan strategi pemasaran ejen pelaburan, namun dia langsung tidak menyemaknya dengan Allahyarham Bung Moktar.

“Sebagai isteri tertuduh pertama, mengapa dia tidak bertanya atau sekurang-kurangnya meminta kepastian daripada suami bolehkah wang itu diterimanya.

“Tindakan Zizie Izette membuktikan konsep `willfull blindness‘ (sengaja menutup mata) kerana dia langsung tidak ambil inisiatif untuk bertanyakan perkara itu kepada suaminya,” hujah Chin How.

Selain itu, beliau berhujah, tertuduh kedua juga tidak bertindak memastikannya dengan suami ketika Norhaili membawanya ke Public Bank Taman Melawati untuk menerima wang pendahuluan.

Menurut Chin How, alasan Zizie Izette bahawa dia tidak perlu memaklumkan suami berhubung perkara itu kerana ia keputusannya sendiri, sebagai tidak munasabah.

“Di sini, pihak pendakwaan menghujahkan bahawa RM2.8 juta itu bukan wang pengenalan, sebaliknya wang suapan,” hujah beliau.

Dalam pada itu, Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Fadhly Mohd Zamri berhujah, pembelaan Zizie Izette adalah tidak logik manakala permohonan pembelaan agar mahkamah menilai semula keterangan SP24 dan SP25, wajar ditolak.

Oleh yang demikian, beliau menghujahkan supaya tertuduh kedua disabitkan bersalah atas ketiga-tiga pertuduhan di bawah Seksyen 28 (1)(c) Akta SPRM 2009 yang dibaca bersama seksyen 17(a) ASPRM 2009 dan dihukum di bawah Seksyen 24 (1) Akta yang sama.

Hakim Rosli Ahmad menetapkan 20 Julai ini bagi keputusan sama ada Zizie Izette dibebas atau disabitkan atas pertuduhan tersebut. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast