Temu bual Pengarah ZMZ Resources Sdn Bhd, Mohd Zulhisyam Jaafar menunjukkan pakaian bomba pada patung pameran ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Shah Alam. Foto MUHAIMIN MARWAN, 19 Mei 2026.

SHAH ALAM – Memulakan perniagaan dan memastikannya terus kekal relevan bukanlah satu perkara yang mudah untuk dilaksanakan malah memerlukan dedikasi dan kesabaran tinggi.

Lebih-lebih lagi apabila membabitkan bisnes perniagaan yang jarang diceburi iaitu syarikat menjahit pakaian badan beruniform kerajaan dan turut membekal aksesori kepada jabatan kerajaan.

Kisah Mohd. Zulhisyam Jaafar, 50,  dalam bidang itu bermula 10 tahun lalu apabila memberanikan diri mencuba benda baharu selepas sebelum itu terbabit membekalkan alat pemadam api kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

“Itu projek yang pertama saya dapat dan saya teruskan lagi berusaha dan sehingga kini hampir 10 tahun saya sudah menceburi bisnes menjahit uniform jabatan itu termasuk membekal aksesori berkaitan seperti baju celoreng, baju tuck in, jaket, vest, baju korporat topi, lencana dan kasut.

“Selain JBPM, kita juga terlibat dengan menjahit pakaian askar dan Jabatan Perhutanan Malaysia yang boleh disifatkan sebagai satu bisnes yang mencabar,” katanya ketika ditemui bilik pameran pejabatnya, ZMZ Resources Sdn. Bhd. di Subang Bestari hari ini.

Pengarah ZMZ Resources Sdn Bhd, Mohd Zulhisyam Jaafar, menunjukkan kasut but bomba yang dipamerkan ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Shah Alam. Foto MUHAIMIN MARWAN, 19 Mei 2026.

Berperanan sebagai pengarah syarikat, beliau mengakui tidak semua usahawan mampu menceburi bisnes itu kerana ia memerlukan kesabaran tinggi dalam menghasilkan produk  berkualiti.

Kata anak kelahiran Kuala Lumpur itu, ia kerana terdapat pakaian uniform yang disiapkan tidak memenuhi kualiti ditetapkan dan syarikatnya perlu menghasilkan semula pakaian tersebut.

Bapa kepada seorang anak lelaki itu berkata, pihaknyanya mementingkan Prosedur Operasi Standard (SOP) dengan membekalkan pakaian dengan mengikut ukuran badan yangd diambil agar dapat dipakai dengan selesa.

“Baju yang kami buat adalah baju yang 100 peratus boleh dipakai. Maksudnya kalau tidak boleh pakai baju itu, kami memang buat balik. Sebab baju yang kita buat ini bukan satu baju yang pasang siap.

“Ini melibatkan ukuran badan di mana terus jahit. Jadi dia berbeza dengan pakaian pasangan siap di mana ada setengah tidak faham. Lagi satu, kalau kata baju fitting ini, harganya pun berbeza.

“Setakat ini, selain pakaian JBPM dan askar, kita juga menyertai tender aksesori setiap tahun di mana produk kita mementingkan kualiti tinggi,” katanya yang memiliki enam tukang jahit dari luar negara.

Pelbagai jenis topi rasmi pakaian istiadat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia dipamerkan ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di ZMZ Resources Sdn Bhd, Shah Alam. Foto MUHAIMIN MARWAN, 19 Mei 2026.

Mohd. Zulhisyam menambah, sehingga kini, syarikatnya tidak pernah lagi menyerahkan projek pakaian yang diterima kepada syarikat lain kerana mereka mahu memantau kualiti produk yang dihasilkan.

Apatah lagi, kata beliau, bisnes pakaian uniform sukar ditemui dan tidak ramai yang menceburinya seperti bisnes kedai makan.

“Bukan semua orang boleh buat kerana ia memerlukan satu kesungguhan dan minat tinggi untuk buat bisnes ini. Mereka yang ingin ceburi bidang ini tidak boleh suka-suka masuk di mana apabila dapat prjek baju bagi sub sana sini.

“Macam syarikat saya, kami belajar melalui kesilapan dan tidak ada satu guru yang membimbing.

“Sebaliknya kami bermula belajar dari bawah apabila pegawai kerajaan datang tunjuk ajar pada kita dan ikut prosedur daripada penyediaan dokumen tender dengan menambah baik dari masa ke semasa,” katanya yang memberitahu tidak sampai 30 syarikat di negara ini yang terbabit dalam bisnes pakaian uniform.

Pakaian dan aksesori bomba dipamerkan pada patung pameran ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di ZMZ Resources Sdn Bhd Shah Alam. Foto MUHAIMIN MARWAN, 19 Mei 2026.

Mohd. Zulhisyam mengakui tidak takut dengan persaingan sengit dalam perniagaan apabila menggalakkan lebih ramaianak muda menceburi bisnes itu dan keluar daripada  pemikiran untuk menjadi usahawan kedai makanan dan minum.

“Nasihat saya kepada anak muda, bidang menjahit baju ini memang terbaik dan memiliki potensi besar tetapi memerlukan kekuatan mental.

“Semangat tinggi juga perlu ada kerana perlu belajar benda baharu dan ia tidak semudah tetapi kita boleh belajar kerana kemahiran masing-masing adalah berbeza.

“Mungkin kemahiran anak muda lebih terbaik kerana memiliki idea baharu di mana saya memang menggalakkan lebih ramai menceburi bidang bisnes menjahit pakaian uniform kerajaan,” katanya. – MalaysiaGazette

Temu bual Pengarah ZMZ Resources Sdn Bhd, Mohd Zulhisyam Jaafar mengenai pembekalan pakaian dan aksesori bomba ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Shah Alam. Foto MUHAIMIN MARWAN, 19 Mei 2026.

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast