Cheong Chin Chong ketika dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuantan, semalam.

KUANTAN – Mahkamah Sesyen di sini semalam menjatuhkan hukuman denda RM200,000 terhadap seorang lelaki selepas didapati bersalah atas pertuduhan menduduki tanah kerajaan negeri tanpa kebenaran di Kampung Permatang Perawan, Pekan, tiga tahun lalu.

Hakim Azman Mustapha membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah dalam kes pendakwaan ke atas tertuduh, Cheong Chin Chong.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara selama 12 bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan selain melucuthakkan dua jengkaut miliknya kepada Kerajaan Negeri Pahang.

Perkara itu dimaklumkan menerusi satu kenyataan kepada Sinar Harian hari ini.

Mengikut fakta kes, tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 425(1)(a) Kanun Tanah Negara kerana menduduki tanah kerajaan negeri tanpa kebenaran pihak berkuasa negeri pada 8 Ogos 2023.

Perbuatan itu dilakukan dengan membuat laluan jalan ke kawasan permit pembalakan di lokasi berkenaan menggunakan dua jengkaut.

Tertuduh ditahan anggota penguat kuasa Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) ketika sedang menjalankan aktiviti tersebut.

Sepanjang perbicaraan yang berlangsung selama satu tahun dua bulan bermula Mac tahun lalu, seramai sembilan saksi pendakwaan dan tiga saksi pembelaan dipanggil bagi memberi keterangan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa UPNP, Muhammad Taqiuddin Azizan bersama Muhammad Faisal Zaini dan Izatul Fairus Loso manakala tertuduh diwakili peguam Kong Yit Har.

Dalam prosiding itu, Muhammad Taqiuddin memohon agar mahkamah mengenakan hukuman berat dan setimpal terhadap tertuduh.

Hujahnya, perbuatan tertuduh didakwa menyebabkan kerosakan besar kepada struktur tanah di kawasan terbabit selain mengakibatkan ketirisan hasil kepada kerajaan negeri.

“Hukuman maksimum diperuntukkan bagi kesalahan itu ialah denda sehingga RM500,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali, sekali gus menunjukkan keseriusan kes pencerobohan tanah di negara ini,” katanya.

Tertuduh gagal membayar denda tersebut sebelum dihantar ke Penjara Penor di sini. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast