KUALA LUMPUR – Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri menggesa mangsa gangguan seksual dan keganasan supaya tidak terus berdiam diri sebaliknya berani tampil membuat laporan.
Beliau berkata, ramai mangsa memilih untuk memendam perkara dialami kerana takut, malu atau bimbang tidak dipercayai.
“Wanita jangan memendam rasa takut itu sehingga diri sendiri diseksa.
“Mereka ada hak sebagai manusia dan perlu bercakap serta mendapatkan bantuan daripada individu yang dipercayai,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program Toleransi Sifar Keganasan: Say No To Sexual Harassment di Hotel Premiera, hari ini.

Nancy berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan membabitkan seorang ketua polis daerah di Sarawak yang disiasat selepas didakwa melakukan gangguan seksual terhadap anggota wanita bawahan.
Menurut beliau, pihak kementerian memandang serius perkara itu dan akan memantau perkembangan siasatan kes berkenaan.
“Saya ucap tahniah kepada pegawai itu kerana berani melaporkan.
“Saya sangat berminat mengikuti kes ini kerana ia melibatkan pihak yang sepatutnya menjadi pelindung kepada masyarakat,” katanya.
Beliau berkata, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) akan terus bekerjasama dengan pihak polis khususnya dalam aspek sokongan, pelaporan dan kaunseling kepada mangsa.
Nancy turut mengingatkan keluarga supaya mengambil serius setiap aduan terutama melibatkan wanita dan kanak-kanak kerana kebanyakan mangsa takut untuk bersuara.
Katanya, pendidikan mengenai nilai hormat dan keberanian mempertahankan hak perlu dipupuk sejak dari rumah bagi mengelakkan budaya keganasan terus berlaku dalam masyarakat. – MalaysiaGazette
















