MELAKA – Misteri bau tidak menyenangkan dari sebuah rumah di Taman Bukit Katil di sini, petang Ahad lalu terjawab dengan penemuan mayat seorang pesara polis dipercayai sudah meninggal dunia beberapa hari lalu.
Kejadian mula disedari sekitar jam 6.30 petang apabila jiran wanita curiga dengan bau yang menusuk dari rumah mangsa sebelum menghubungi talian kecemasan MERS 999.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Senior Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, sepasukan anggota polis dengan bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) kemudian terpaksa memecah masuk ke dalam rumah berkenaan.

“Hasil pemeriksaan mendapati mangsa lelaki berusia 64 tahun merupakan bekas anggota polis dipercayai telah meninggal dunia sejak beberapa hari lalu berdasarkan keadaan fizikal mayat yang sudah berbau dan berwarna hitam.
“Siasatan lanjut pegawai penyiasat di lokasi kejadian mendapati tiada sebarang unsur jenayah dikesan pada tubuh mangsa yang ditemukan tertiarap di ruang tamu rumah mahupun persekitaran kediaman,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tambahnya, berdasarkan maklumat daripada jiran, mangsa yang tinggal bersendirian di rumah itu tidak kelihatan keluar dari rumahnya antara empat hingga lima hari lalu.
“Mayat kemudian dibawa ke Unit Forensik Hospital Melaka untuk proses bedah siasat mayat bagi mengenal pasti punca sebenar kematian.
“Hasil keputusan bedah siasat pada jam 2.45 petang semalam mendapati punca kematian adalah ketiga-tiga saluran jantung tersumbat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR),” katanya. – MalaysiaGazette
















