KUALA LUMPUR – Dapatan analisis oleh firma penyelidikan, Ilham Centre meletakkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada kedudukan pertama berdasarkan jumlah keseluruhan pengikut di media sosial.
Dapatan itu mendedahkan Najib mempunyai seramai 9.35 juta pengikut, sekali gus menjadikan beliau tokoh politik paling dominan di media sosial Malaysia.
Katanya, kekuatan bekas Presiden UMNO itu amat ketara di platform media sosial Facebook (4.6 juta) dan X (3.2 juta), menunjukkan pengaruh besar terhadap audiens matang dan pengguna politik aktif.
“Kedudukan ini membayangkan bahawa walaupun berdepan pelbagai cabaran politik dan undang-undang, jenama politik Najib masih mempunyai daya tarikan digital yang sangat tinggi,” katanya menerusi analisis yang dimuat naik di Facebook hari ini.
Sementara itu, dapatan analisis sama menyebut Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman muncul sebagai `raja media sosial generasi muda’.
Katanya, walaupun berada di tangga keempat keseluruhan (7.65 juta pengikut), Syed Saddiq menunjukkan dominasi jelas dalam platform berorientasikan generasi muda apabila mencatat angka tertinggi di Instagram dengan 2.2 juta pengikut, TikTok (2.3 juta) dan Threads (643,000).
“Prestasi ini menggambarkan strategi digital yang lebih moden, visual dan bersifat “engagement-driven”.
“Syed Saddiq berjaya membina pengaruh kuat dalam kelompok anak muda serta pengguna media sosial baharu,” katanya.
Sementara itu, analisis sama meletakkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ditangga kedua dengan 8.11 juta pengikut, diikuti rapat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan 7.90 juta pengikut.
Bekas Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin pula berada di kedudukan kelima dengan 6.44 juta pengikut, didorong oleh kekuatan besar di X (2.5 juta) dan kehadiran seimbang di Instagram serta TikTok.
“Ini menunjukkan beliau masih mempunyai kredibiliti dan pengaruh tinggi dalam ruang politik digital walaupun tidak lagi berada di barisan utama pentadbiran negara,” katanya.

Secara keseluruhan, menurut analisis itu, Facebook kekal sebagai platform utama politik Malaysia, dengan jumlah pengikut tertinggi terkumpul dalam kalangan tokoh politik.
Katanya, tokoh-tokoh senior seperti Najib; Dr. Mahathir; Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mempunyai pengaruh besar di platform itu.
“Ini menunjukkan bahawa Facebook masih penting untuk komunikasi politik massa, khususnya dalam kalangan pengundi dewasa dan luar bandar,” katanya.
Sementara itu, platform seperti TikTok dan Instagram serta Threads memperlihatkan perubahan pola komunikasi politik terkini.
Katanya, tokoh seperti Syed Saddiq; Anwar; Khairy dan Nurul Izzah Anwar menunjukkan prestasi yang lebih baik di platform tersebut.
“Fenomena ini memberi isyarat bahawa strategi politik masa depan akan semakin tertumpu kepada kandungan video pendek, naratif visual dan pendekatan lebih santai untuk menarik perhatian pengundi muda,” katanya.
Sementara itu, tambahnya, jumlah pengikut YouTube secara relatif lebih rendah berbanding platform lain dengan bekas Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli muncul sebagai peneraju YouTube dengan 137,000 pengikut, diikuti Dr. Mahathir Mohamad dan Khairy.
“Ini menunjukkan bahawa kandungan berbentuk penjelasan panjang, dasar dan analisis masih mempunyai audiens tersendiri tetapi belum dimanfaatkan secara optimum oleh kebanyakan ahli politik Malaysia,” katanya.
Secara keseluruhan, tambahnya, landskap media sosial politik Malaysia menunjukkan bahawa pengaruh digital kini menjadi aset digital politik yang sangat penting dalam membentuk persepsi awam, menyebarkan mesej politik dan memobilisasi sokongan.
Ujarnya, Najib masih mendominasi dari segi jumlah pengikut keseluruhan, namun Syed Saddiq memperlihatkan pengaruh paling besar dalam platform generasi muda.
Sementara itu, Anwar dan Dr Mahathir pula mengekalkan kedudukan sebagai tokoh politik arus perdana dengan capaian digital yang luas merentas pelbagai segmen masyarakat.
“Trend ini menunjukkan bahawa masa depan politik digital Malaysia bukan lagi bergantung kepada satu platform sahaja, tetapi kepada keupayaan tokoh politik membina kehadiran yang seimbang dan relevan merentas pelbagai medium media sosial mengikut profil pengundi sasaran,” katanya. – MalaysiaGazette
















