Reezal Merican Naina Merican (tengah) bersama Abdul Halim Aliumar (tiga dari kiri) pada Konvokesyen Akademi Muezza di Pusat Belia Antarabangsa, Cheras baru-baru ini.

KUALA LUMPUR – Mulai Jun ini, Akademi Muezza akan memperkenalkan Program Permata Muezza menerusi pembangunan kanak-kanak yang menggabungkan elemen sukan memanah, akademik dan agama dalam satu ekosistem pembelajaran holistik.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Akademi Muezza, Abdul Halim Aliumar, akademi itu sebelum ini memfokuskan kepada pembangunan sukan khususnya melalui disiplin memanah dan renang kini memperluaskan peranannya dengan memperkenalkan dua teras baharu iaitu akademik dan pendidikan agama.

“Kami akan lancarkan dua teras ini serentak pada Jun depan. Untuk akademik, kami mulakan dengan program 3M iaitu mengira, menulis dan membaca.

“Namun ini bukan konsep tuisyen biasa. Kami mahu fokus kepada pembangunan keyakinan diri dan kemahiran komunikasi pelajar melalui pendekatan fun learning,” katanya selepas meraikan seramai 197 pelajar sempena konvokesyen pertama sejak penubuhannya tiga tahun lalu di sini baru-baru ini.

Program yang sama dirasmikan oleh Pengerusi Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bertam di Pusat Belia Antarabangsa di sini baru-baru ini.

eezal Merican Naina Merican menyampaikan anugerah pencapaian cemerlang pada Konvokesyen Akademi Muezza di Pusat Belia Antarabangsa, Cheras baru-baru ini.

Abdul Halim berkata, program tersebut akan menawarkan kelas Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Mandarin dalam suasana pembelajaran interaktif yang menggabungkan pelajar daripada pelbagai peringkat umur dan kemudahan sukan.

Pendekatan itu dilihat mampu mewujudkan proses perkongsian ilmu secara semula jadi selain membantu meningkatkan tahap keberanian pelajar untuk berinteraksi.

“Suasana pembelajaran juga lebih santai dan aktif termasuk elemen permainan, aktiviti memanjat dan pembelajaran secara praktikal. Kami turut bekerjasama dengan syarikat yang berpengalaman dalam pembangunan silibus sekolah swasta bagi mempercepat pembinaan modul kemahiran pembelajaran,” katanya.

Selain akademik, teras agama akan diperkenalkan menerusi kerjasama dengan Yayasan Maghfirah melalui projek Sahabat Al-Quran, pembelajaran al-Quran dengan modul yang memfokuskan pendidikan, akhlak dan kepimpinan.

Abdul Halim Aliumar

Menurut beliau, pelajar yang diraikan terdiri daripada peserta dalam kategori memanah beginner, intermediate dan advanced yang dipilih berdasarkan pencapaian sepanjang tahun lalu.

Akademi Muezza ketika ini mempunyai tiga teras utama sukan iaitu memanah, renang dan bola sepak dengan jumlah keseluruhan pelajar melebihi 3,700 orang di seluruh negara.

“Setakat ini kami mempunyai kira-kira 37 studio dalaman dan lebih 40 lokasi luar termasuk sekolah serta padang bagi aktiviti latihan memanah dan sukan lain,” katanya.

Mengulas perancangan masa depan, Abdul Halim berkata, Akademi Muezza juga sedang berbincang dengan beberapa agensi kerajaan bagi membangunkan atlet elit mereka yang berpotensi mewakili negara ke pentas antarabangsa termasuk Olimpik.

“Kami sudah menghantar pasukan ke Indonesia dan berjaya muncul juara. Kini kami mahu mencari kesinambungan bersama kerajaan untuk membawa atlet elit Muezza ke peringkat lebih tinggi,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast