Ketua Pengarah SNCC Datuk Sani Araby Abdul Alim Araby

PUTRAJAYA – Sumud Nusantara Command Centre (SNCC) mengesahkan kesemua 10 kapal Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0 telah dipintas tentera laut rejim Zionis Israel (IOF) setakat 8.25 malam waktu Malaysia.

SNCC memaklumkan kapal yang dipintas ialah Alcyone yang membawa dua rakyat Malaysia, iaitu Muhammad Hareez Adzrami dan Chin Shiau Weai.

“Perkembangan lanjut akan dimaklumkan secara rasmi oleh SNCC. Sidang media akan diadakan esok,” menurut SNCC dalam kenyataan, malam ini.

Sementara dalam kenyataan berasingan, GSF memaklumkan pihaknya menerima pengesahan bahawa ratusan aktivis yang ditahan semalam, kini sedang dipindahkan secara paksa oleh tentera Israel ke sebuah pelabuhan di wilayah Palestin yang diduduki.

“Kapal tentera rejim itu membawa aktivis kami yang diculik termasuk doktor, wartawan dan pembela hak asasi manusia dari lebih 40 negara dijadual berlabuh dalam tempoh kira-kira dua jam,” menurut kenyataan itu.

GSF mendesak semua peserta bersama lebih 9,000 tahanan politik Palestin dibebaskan segera dan tanpa syarat, selain menggesa pemimpin dunia menuntut pembebasan peserta flotila, tahanan politik Palestin dan tebusan, serta menamatkan genosid dan sekatan ke atas Gaza.

Selain itu, GSF turut membangkitkan kebimbangan serius terhadap keselamatan serta kebajikan mereka yang ditahan, susulan kejadian yang menimpa peserta di perairan antarabangsa pada 29 April lepas.- BERNAMA

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast