KUALA LUMPUR – Timbalan Setiausaha Agung Keadilan, Saifuddin Shafi Muhammad mengingatkan bekas ahli Parlimen DAP, Tony Pua supaya tidak mengeluarkan kenyataan yang boleh menaikkan amarah rakyat mengenai kedudukan institusi raja dalam sistem pentadbiran negara.
Beliau berkata, walaupun Malaysia mengamalkan demokrasi berparlimen dan Raja Berpelembagaan seperti dihuraikan Tony, semua pihak perlu lebih berhati-hati dalam memilih pendekatan serta nada kenyataan melibatkan institusi diraja.
Menurutnya, kenyataan terbuka seperti itu akhirnya mencetuskan polemik tidak perlu sehingga memberi ruang kepada pembangkang memainkan sentimen politik secara berlebihan.
“Tiada siapa menafikan Malaysia mengamalkan sistem Raja Berpelembagaan dan Perlembagaan Persekutuan menjadi tunjang pentadbiran negara.
“Namun sebagai ahli politik berpengalaman, Tony Pua sepatutnya memahami isu melibatkan institusi diraja perlu ditangani dengan penuh hemah dan kebijaksanaan.
“Bukannya melalui kenyataan yang akhirnya menimbulkan persepsi seolah-olah wujud pertentangan dengan institusi Raja,” katanya hari ini kepada MalaysiaGazette.
Saifuddin berkata, kenyataan Tony itu turut menyebabkan Kerajaan Perpaduan Selangor berdepan kesukaran untuk menjelaskan keadaan sebenar kerana isu tersebut terus dipanaskan dengan sentimen tertentu dan dimanipulasi pihak pembangkang.
Beliau berkata, ketika kerajaan negeri sedang memberi tumpuan kepada soal ekonomi, pelaburan serta kebajikan rakyat, polemik sedemikian hanya mengalih perhatian daripada agenda sebenar pentadbiran.
Menurutnya, saranan Sultan Selangor supaya rakyat memahami Rukun Negara dan Perlembagaan Malaysia perlu diterima dengan hati terbuka kerana kedua-duanya menjadi asas penting kepada kestabilan negara.
“Institusi diraja adalah simbol kekuatan dan kesatuan negara yang bertindak sebagai tiang seri dalam mengimbangi kestabilan politik dan pentadbiran negara.
“Ia bukan sekadar simbol protokol tetapi penjaga kompas moral dan Perlembagaan negara.
“Gabungan antara kedaulatan diraja dan demokrasi berparlimen inilah yang memastikan kebajikan rakyat sentiasa menjadi keutamaan,” ujarnya.
Saifuddin yang juga Setiausaha Politik Datuk Menteri Besar Selangor turut mencadangkan supaya Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Kembangan, Wong Siew Ki mengambil pendekatan lebih diplomatik termasuk memohon menghadap Sultan Selangor atau mengutus surat bagi menjelaskan kedudukan sebenar isu berkenaan demi meredakan keadaan. -MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:















