KUALA LUMPUR – Sebanyak 327 spesies ikan laga mikroendemik Betta persephone yang hanya ditemukan secara semula jadi di Hutan Taman Negeri Ayer Hitam Utara, Muar Johor, berjaya dilepaskan semula ke habitat asalnya menerusi usaha konservasi yang diketuai oleh Profesor Madya Ts. Dr. Muhammad Abdul Latiff Abu Bakar dari Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).
Beliau bersama pasukan SEA LIFE Legoland Malaysia, dengan kerjasama Jabatan Perhutanan Johor dan Jabatan Perikanan Johor mencipta sejarah tersendiri apabila aktiviti pelepasan Betta persephone itu menjadi program terbesar pernah direkodkan di dunia, sekali gus menjadi simbol penting kejayaan konservasi spesies hampir pupus yang hanya wujud di hutan paya gambut Johor.
Spesies yang dikategorikan sebagai ‘sangat terancam’ itu merupakan antara khazanah biodiversiti paling unik di Malaysia kerana habitat semula jadinya hanya tertumpu di kawasan paya gambut hitam sekitar Hutan Taman Negeri Ayer Hitam Utara.
Namun, ekosistem sensitif itu semakin terancam akibat perubahan lanskap, kebakaran hutan serta tekanan pembangunan di kawasan sekitarnya.
Keadaan tersebut menjadikan usaha konservasi Betta persephone amat kritikal bagi memastikan spesies mikroendemik itu tidak pupus daripada habitat asalnya.
Usaha konservasi Betta persephone sebenarnya telah dimulakan seawal tahun 2016 melalui kerjasama antara UTHM; Kim Ichthyologist Centre; Pejabat Daerah Muar; Jabatan Perikanan Johor serta Kelab Alam Sekitar Seri Sempadan menerusi pelbagai aktiviti dokumentasi biodiversiti, pemantauan habitat dan kesedaran komuniti di kawasan Hutan Taman Negeri Ayer Hitam Utara.

Usaha itu kemudiannya diperkukuhkan apabila SEA LIFE Malaysia menyertai kolaborasi tersebut dengan sokongan dana antarabangsa daripada SEA LIFE TRUST bagi melaksanakan program pembiakan konservasi ex-situ di Sealife Legoland Malaysia, Iskandar Puteri sebelum spesies itu berjaya dilepaskan semula ke habitat asal.
Menurut Dr. Abdul Latiff, kejayaan pelepasan semula itu bukan sekadar mencatat rekod dunia, malah menjadi simbol bahawa spesies kecil yang hampir hilang dari habitat asal masih mampu diselamatkan melalui gabungan penyelidikan saintifik, sokongan agensi kerajaan, penglibatan komuniti dan kerjasama industri dan antarabangsa.
“Inisiatif ini turut membuktikan bahawa usaha konservasi tempatan yang digerakkan secara berterusan mampu meletakkan Malaysia sebagai antara contoh penting pemuliharaan spesies terancam di peringkat global,” katanya dalam satu kenyataan.
Turut diberi perhatian, pemeliharaan ekosistem paya gambut di Hutan Taman Negeri Ayer Hitam Utara yang menjadi habitat penting kepada pelbagai spesies flora dan fauna sensitif.
Bagi memperkukuhkan agenda konservasi kawasan tersebut, UTHM dan Jabatan Perhutanan Johor telah menubuhkan Makmal Alami Ayer Hitam Utara (Living Lab Ayer Hitam Utara) sejak tahun 2022 sebagai platform penyelidikan, konservasi biodiversiti dan penglibatan komuniti secara bersepadu.
“Kawasan ini merupakan antara baki hutan paya gambut terakhir di selatan semenanjung Malaysia dan memainkan peranan penting sebagai kawasan tadahan air, penyimpanan karbon semula jadi serta habitat kepada biodiversiti unik yang tidak ditemui di tempat lain,” jelas Dr. Abdul Latiff.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Perhutanan Johor, Mohd Syahrir Azrin Salleh yang hadir pada sesi pelepasan bersejarah itu turut menyatakan sokongan terhadap usaha konservasi tersebut dan melihat inisiatif berkenaan sebagai langkah penting dalam memperkukuhkan pemuliharaan biodiversiti serta habitat paya gambut di negeri Johor.
“Kejayaan ini diharapkan akan membuka lembaran baharu dalam usaha konservasi biodiversiti negara, khususnya bagi spesies-spesies kecil dan mikroendemik yang sering terlepas daripada perhatian umum.
“Masa depan biodiversiti Malaysia tidak hanya bergantung kepada perlindungan spesies tertentu, tetapi juga kepada keupayaan semua pihak dalam memelihara habitat semula jadi yang semakin terancam demi memastikan keseimbangan ekosistem negara terus terpelihara,” katanya.
















