Empat remaja termasuk seorang pelajar perempuan Tingkatan 2 mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Alor Gajah hari ini atas pertuduhan mencederakan seorang pemandu Grab awal bulan ini hanya kerana tidak mempunyai wang untuk membayar tambang.

ALOR GAJAH – Empat remaja termasuk seorang pelajar perempuan Tingkatan 2 mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Alor Gajah di sini hari ini atas pertuduhan mencederakan seorang pemandu Grab kerana tidak mempunyai wang untuk membayar tambang, awal bulan ini.

Tertuduh juvana, dua remaja lelaki berusia 15 dan 17 tahun dan dua perempuan masing-masing berusia 14 tahun, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Majistret Dr Teoh Shu Yee sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan, kesemua tertuduh dengan niat bersama telah dengan sengaja menyebabkan kecederaan kepada mangsa, wanita pemandu e-hailing Grab berusia 42 tahun.

Perbuatan itu dilakukan menggunakan senjata atau benda berbahaya iaitu sebatang besi dan menjerut leher mangsa sehingga mendatangkan kecederaan kepada mangsa.

Keempat-empat remaja tersebut melakukan kesalahan itu di kawasan berhampiran hutan Kuala Sungai Baru kira-kira 12.30 tengah malam pada 4 Mei lalu.

Mereka dituduh di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tiga tahun atau denda atau dikenakan sebatan

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Raya Muhamad Ehsan Nasarudin menawarkan jaminan RM2,000 bagi setiap tertuduh.

Bagaimanapun peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) Goh Jee Chee yang mewakili tertuduh memohon agar jaminan rendah.

Majistret kemudian membenarkan jaminan sebanyak RM1,000 selain penjaga perlu menemani kanak-kanak berkenaan setiap kali hadir ke mahkamah.

Mahkamah menetapkan 24 Jun depan untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan akhlak.

Empat remaja termasuk seorang pelajar perempuan Tingkatan 2 mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Alor Gajah hari ini atas pertuduhan mencederakan seorang pemandu Grab awal bulan ini hanya kerana tidak mempunyai wang untuk membayar tambang.

Isnin lalu, MalaysiaGazette melaporkan seorang pemandu e-hailing wanita cedera selepas dibelasah sekumpulan remaja termasuk dua perempuan berusia 14 tahun di Kuala Sungai Baru, kerana tiada wang untuk membayar tambang.

Dalam kejadian itu, mangsa lebam dan bengkak di kepala, badan, kaki dan tangan selain kesan jerutan di leher selepas diserang suspek, namun berjaya melarikan diri selepas berlaku pergelutan.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah Superintendan Ahmad Abu Bakar dilaporkan berkata, kejadian berlaku apabila mangsa mengambil empat penumpang termasuk seorang perempuan yang juga pelajar sekolah Tingkatan 2 di kawasan Bukit Rambai.

Kesemua mereka termasuk tiga lagi remaja berkenaan yang sudah tidak bersekolah mahu ke Pekan Kuala Sungai Baru dan membuat tempahan perjalanan melalui aplikasi Grab dipandu mangsa. – MalaysiaGazette

 

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast