Tangkap layar video tular memaparkan beberapa lelaki mencuri kabel dalam kawasan Pasir Gudang, kelmarin.

PASIR GUDANG – Polis menahan lima lelaki kerana terlibat mencuri kabel di daerah ini pada awal pagi semalam seperti kejadian yang tular dalam media sosial.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Asisten Komisioner Mohd Sohaimi Ishak berkata, pihaknya mengesan video tular berdurasi tujuh saat itu pada pukul 2 petang yang dimuat naik dalam akaun @inhuman.13.

“Video yang tular itu memaparkan sekumpulan individu menggunakan dua buah kenderaan yang disyaki sedang mencuri kabel.

“Hasil siasatan mendapati kejadian berlaku pukul 4.15 pagi kelmarin bertempat di kawasan Pasir Gudang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, bertindak atas maklumat, anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam berjaya menahan lima lelaki tempatan berusia 24 hingga 27 tahun bagi siasatan lanjut.

Katanya, polis turut merampas lima batang kabel, tiga unit kunci manhole, empat unit tali, tiga unit pemotong kabel, sebilah pisau, sebuah buku lika, tiga kereta, sebilah keris dan sebatang tukul besi.

Tambahnya, turut dirampas dua buah roll penarik wayar, satu rantai penarik wayar kabel, sebatang apit G, sebatang besi pembuka tayar dan sehelai baju pantul cahaya.

“Polis juga menemukan dan merampas satu paket plastik lut sinar yang mengandungi hablur kristal disyaki dadah jenis syabu. Hasil ujian air kencing ke atas semua tangkapan didapati positif dadah jenis methamphetamine,” katanya.

Ujarnya, hasil semakan rekod lampau mendapati semua tangkapan mempunyai 11 hingga 23 rekod jenayah dan dadah.

Beliau memberitahu, seorang tangkapan ditahan reman selama empat hari bermula kelmarin manakala empat yang lain direman empat hari bermula hari ini.

Tambahnya, kes disiasat bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya.

Mohd Sohaimi berkata, pasukan IPD Seri Alam sedang menjalankan siasatan bagi mengesan suspek lain yang masih bebas.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini boleh menyalurkan maklumat berkaitan Pegawai Penyiasat K Tharmaraja 013-8865386 atau hotline IPD Seri Alam 07-3864222 bagi membantu siasatan. – MalaysiaGazette

 

 

 

 

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast