KUALA LUMPUR – Ahli perniagaan, Albert Tei Jiann Cheing mendakwa dipanggil Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman esok bagi membantu siasatan berhubung laporan polis dibuat bekas Setiausaha Politik Perdana Menteri, Farhash Wafa Salvador berkaitan dakwaan salah laku tular melibatkan dirinya dan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurut Albert Tei, pegawai penyiasat memaklumkan bahawa Farhash membuat laporan polis pada malam 5 Mei lalu susulan video berdurasi 49 saat yang tular di media sosial memaparkan beberapa dakwaan serius dibuat oleh Sofia Rini Buyong terhadap Anwar dan Farhash.
Bagaimanapun, katanya, beliau terlebih dahulu membuat laporan polis berhubung perkara sama pada pagi 5 Mei di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi.
“Perkara itu berlaku sejak 22 April lalu, namun saya membuat laporan polis dua minggu kemudian. Saya rasa pelik kerana Farhash yang didakwa terlibat dengan pelbagai salah laku dalam video itu hanya membuat laporan polis selepas saya mengadukannya kepada pihak polis,” katanya dalam satu kenyataan.
Albert Tei turut mendakwa, polis tidak mengambil tindakan terhadap laporan yang dibuat olehnya, sebaliknya memberi perhatian serius terhadap laporan dibuat oleh Farhash.
“Saya yang mengadukan perkara tersebut kepada pihak polis, tetapi saya pula yang disiasat sekarang. Inilah namanya penguatkuasaan dua darjat, orang yang berprofil tinggi diberikan layanan istimewa,” dakwanya. – MalaysiaGazette
















