JOHOR BAHRU – Bekas pengurus bank berputih mata apabila kerugian RM936,000 diperdaya sindiket penipuan panggilan telefon yang menyamar sebagai ejen insurans, pegawai polis dan Timbalan Pendakwa Raya.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, mangsa merupakan wanita berusia 60 tahun dan menerima panggilan telefon daripada individu yang mendakwa sebagai ejen insurans pada 1 April lalu.
“Suspek memaklumkan mangsa kononnya membuat tuntutan insurans di sebuah hospital di Kuala Lumpur.
“Apabila mangsa menafikan perkara itu, panggilan disambungkan kepada seorang lagi individu yang menyamar sebagai pegawai polis.
“Suspek mendakwa mangsa terbabit dalam aktiviti pengubahan wang haram dan perlu membuat laporan polis secara dalam talian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Raub berkata, mangsa kemudian dihubungi seorang lagi suspek yang menyamar sebagai Timbalan Pendakwa Raya sebelum diarahkan membuka akaun bank baharu bagi tujuan siasatan.
Katanya, pada 6 April lalu, mangsa membuka sebuah akaun bank sebelum memindahkan keseluruhan wang simpanannya itu ke dalam akaun berkenaan.
Menurutnya, mangsa turut diminta memberikan maklumat perbankan secara dalam talian kepada suspek.
Pada 15 Mei lalu kata Raub, mangsa mendapati kesemua wang dalam akaun tersebut telah lesap sebelum tampil membuat laporan polis.
Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.- MalaysiaGazette















