Mohideen.

GEORGE TOWN – Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa rakyat Malaysia bersedia menghadapi kemungkinan krisis tenaga global yang berpanjangan susulan gangguan bekalan minyak dunia akibat konflik di Asia Barat.

Presidennya, Mohideen Abdul Kader berkata, Malaysia tidak boleh terus mengekalkan subsidi RON95 dan diesel selama-lamanya memandangkan kos yang semakin meningkat dan tekanan terhadap kewangan negara.

Menurutnya, kerajaan dilaporkan membelanjakan RM3.2 bilion sebulan bagi subsidi bahan api pada awal Mac lalu sebelum meningkat kepada lebih RM6 bilion sebulan sejak April lalu.

Katanya, walaupun pada kadar RM3.2 bilion sebulan, subsidi berkenaan boleh menyebabkan kerajaan menanggung hampir RM40 bilion setahun iaitu kira-kira sembilan peratus daripada Belanjawan 2026.

“Beban subsidi akhirnya dikongsi oleh semua rakyat Malaysia dan dianggarkan kumpulan T20 menggunakan kira-kira 30 peratus daripada jumlah subsidi RON95 kerana mereka lebih cenderung memiliki lebih banyak kenderaan, menggunakan kenderaan lebih besar dan melakukan perjalanan lebih kerap.

“Atas faktor itu kerajaan perlu mempertimbangkan pengurangan atau penghapusan subsidi RON95 untuk golongan T20 selain meneliti langkah menghapuskan akses subsidi kepada mat rempit dan melarang penganjuran konvoi bermotor ketika krisis tenaga.

“Malah, ramai rakyat masih tidak menyedari bahawa subsidi RON95 dan diesel hanya bertujuan menampan ekonomi sementara menunggu konflik dunia berakhir dengan cepat,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Tambah beliau, kenaikan harga minyak dijangka meningkatkan kos petrol, diesel, penghantaran dan penjanaan elektrik dengan golongan B40 serta M40 berisiko menerima kesan paling besar.

Katanya, masyarakat juga perlu memahami petroleum bukan sahaja digunakan sebagai bahan api tetapi turut menjadi komponen penting dalam pengeluaran baja, tekstil, farmaseutikal, bahan kimia, bahan binaan dan elektronik.

Beliau berkata, petani yang bergantung kepada baja kimia akan berdepan kesukaran manakala kos pengangkutan hasil pertanian ke pasaran dijangka meningkat.

“Kilang pula mungkin terpaksa mengurangkan pengeluaran akibat kekurangan bahan mentah, peningkatan kos operasi dan gangguan logistik sehingga boleh membawa kepada pelaksanaan Skim Pemisahan Sukarela (VSS) atau pemberhentian pekerja.

“Orang ramai perlu mengurangkan perbelanjaan tidak perlu dan mula menabung sebagai persediaan menghadapi kemungkinan kesukaran ekonomi.

“Justeru Malaysia perlu mempercepatkan peralihan kepada agroekologi dan mengurangkan pergantungan kepada input berasaskan bahan api fosil termasuk penggunaan agrokimia,” katanya.

Dalam pada itu katanya, negara perlu mengurangkan secara drastik pergantungan terhadap bahan api fosil bagi penjanaan tenaga dan mempercepatkan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara melalui penggunaan tenaga boleh diperbaharui.

“Sokongan dasar kerajaan termasuk subsidi dan insentif cukai penting bagi membolehkan rakyat beralih kepada tenaga boleh diperbaharui yang lebih mampan.

“Kerajaan juga perlu menghebahkan rancangan luar jangka supaya rakyat dapat memahami kesan yang mungkin berlaku dan membuat persediaan sewajarnya,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast