BENTONG – Seorang lelaki berusia 26 tahun dilaporkan hilang selepas gagal dihubungi sejak tengah hari Selasa lalu.
Ketua Polis Daerah Bentong, Superintenden Zaiham Mohd Kahar berkata, pihak polis menerima laporan berhubung kehilangan lelaki terbabit pada jam 3.06 petang, hari ini.
Menurutnya, mangsa dikenali sebagai Phan Jian Yi, berbangsa Cina, berketinggian kira-kira 175 sentimeter dengan berat sekitar 75 kilogram serta berbadan sederhana.
“Mangsa mempunyai rambut berwarna hitam dan kali terakhir dilihat memakai baju T-shirt lengan panjang berwarna kelabu serta seluar panjang hitam.
“Alamat terakhir mangsa adalah di Jalan TS 12, Taman Saga, Bentong manakala lokasi terakhir diketahui berada di sebuah kilang besi di Taman Orkid, Bentong,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, pengadu yang juga kakak mangsa memaklumkan adiknya tidak dapat dihubungi sejak jam 1.30 tengah hari, semalam.
Sehubungan itu, polis memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kehilangan lelaki berkenaan supaya tampil membantu siasatan.
Maklumat boleh disalurkan ke mana-mana balai polis berhampiran atau menghubungi Pusat Kawalan Daerah (DCC) Ibu Pejabat Polis Daerah Bentong di talian 09-2231999. – MalaysiaGazette
















