Bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli bersama bekas Naib Presiden PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad ketika mengumumkan keluar daripada PKR dan menyertai Parti Bersama Malaysia pada majlis pengumuman hala tuju politik baharu di PJ Performing Arts Centre, One Utama. Foto MUHAIMIN MARWAN, 17 Mei 2026.

KUALA LUMPUR – Manifesto 12 agenda dibawa Rafizi Ramli untuk Parti Bersama Malaysia (Bersama) disifatkan sekadar “angan-angan Mat Jenin” yang sedap didengar tetapi sukar dilaksanakan dalam realiti pentadbiran negara.

Menurut Pengarah Institut Kajian Politik Malaysia (MAPAN) Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Madya Dr Mashitah Mohd Udin, manifesto tersebut sarat dengan sasaran besar namun lemah dari sudut mekanisme pelaksanaan, kos dan sumber pembiayaan malah hanya menarik dari segi slogan semata-mata.

“Dalam bidang dasar awam, sesiapa sahaja boleh menyebut mahu bantuan bulanan universal, pertumbuhan ekonomi lebih lima peratus atau gaji meningkat setiap tahun, tetapi persoalan sebenar ialah bagaimana semua itu mahu dibiayai dalam keadaan fiskal negara yang terbatas.

“Sebab itu saya setuju jika dikatakan manifesto ini seolah-olah menyerupai ‘angan-angan Mat Jenin’ yang sedap didengar tetapi terlalu idealistik dan tidak berpijak pada realiti pentadbiran negara,” katanya.

Menurut beliau, rakyat juga berhak mempersoalkan kredibiliti Rafizi berdasarkan rekodnya sendiri ketika menjadi Menteri Ekonomi hampir tiga tahun dalam kerajaan.

“Jika benar idea-idea ini begitu hebat dan boleh dilaksanakan, mengapa sebahagian besar daripadanya tidak diperjuangkan secara agresif ketika beliau berada dalam Kabinet dan mempunyai akses langsung kepada proses membuat dasar negara?” soalnya.

Mashitah berkata, sepanjang memegang portfolio ekonomi, Rafizi lebih dikenali dengan isu sistem PADU dan kontroversi vending machine berbanding reformasi ekonomi besar seperti yang kini dijanjikan.

Dr. Mashitah Mohd UdinKatanya, situasi itu menimbulkan persepsi bahawa agenda baharu dibawa Rafizi lebih bersifat reaktif selepas keluar daripada arus kuasa dan bukannya perjuangan dasar yang konsisten sejak awal.

“Dalam politik, konsistensi sangat penting. Rakyat akan bertanya sama ada agenda ini benar-benar lahir daripada keyakinan ideologi ataupun sekadar usaha membina identiti politik baharu selepas konflik dalaman parti.

“Tambahan pula, semua 12 agenda ini hanya boleh dilaksanakan jika parti Bersama menang PRU-16 dan membentuk kerajaan Persekutuan. Dalam sistem politik Malaysia yang berasaskan gabungan, hampir mustahil sebuah parti baharu yang kecil dapat membentuk kerajaan secara bersendirian,” katanya.

Manifesto 12 agenda dibawa Rafizi melalui Parti Bersama Malaysia (Bersama) memberi fokus kepada reformasi ekonomi, peningkatan pendapatan rakyat dan pembinaan semula institusi negara.

Antara janji utama ialah bantuan bulanan universal kepada isi rumah, pertumbuhan ekonomi melebihi lima peratus setahun, kenaikan gaji tahunan, pendidikan awal kanak-kanak universal serta had pekerja asing maksimum lima peratus daripada jumlah tenaga kerja negara.

Selain itu, Rafizi turut membawa agenda meningkatkan nisbah doktor kepada 1:300 penduduk, memberi autonomi penuh kepada universiti awam, memperkukuh ekonomi digital, memperluas jaringan keselamatan sosial dan mewujudkan peluang pekerjaan berpendapatan tinggi.

Beliau mendakwa agenda tersebut mampu menjadikan Malaysia lebih kompetitif dan mengurangkan jurang ekonomi rakyat dalam tempoh sedekad akan datang. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast