KUALA LUMPUR – Perikatan Nasional (PN) Setiawangsa akan melancarkan Pusat Khidmat Komuniti Setiawangsa Prihatin atau lebih dikenali sebagai Setiawangsa Prihatin pada Jumaat ini, susulan peletakan jawatan Ahli Parlimen itu, Nik Nazmi Nik Ahmad.
PN Setiawangsa dalam satu kenyataan berkata, ia merupakan penambahbaikan sistem sedia ada di mana interaksi secara atas talian dan juga fizikal diperkukuhkan lagi.
Menurutnya, ia bertujuan memudahkan warga Setiawangsa mendapatkan bantuan, menyalurkan aduan, serta berhubung secara terus dengan pasukan khidmat komuniti secara lebih efektif.
“Rakyat Setiawangsa juga digalakkan untuk hadir secara fizikal ke Pusat Khidmat Komuniti di Jalan Megan Setapak, Sri Rampai,” katanya.
Kenyataan itu dikeluarkan secara bersama oleh Yang Dipertua Pas Setiawangsa, Dr Zuraini Hashim dan Ketua Bahagian Bersatu Setiawangsa, Ewan Radzuan.
Terdahulu, katanya, PN Setiawangsa memandang serius perkembangan terkini berhubung peletakan jawatan Nik Nazmi.
Katanya, keutamaan utama mestilah diberikan kepada kebajikan, kesejahteraan serta esinambungan perkhidmatan kepada seluruh rakyat Setiawangsa tanpa mengira latar belakang politik, kaum mahupun agama.
“Sehubungan itu, Pas dan Bersatu Setiawangsa yang merupakan parti komponen PN Setiawangsa ingin menegaskan komitmen berterusan kami untuk membantu dan menawarkan khidmat bakti berterusan kepada seluruh warga Setiawangsa melalui pendekatan lebih proaktif, pantas dan mesra rakyat,” katanya. – MalaysiaGazette
















