MAKKAH – Operasi haji bagi musim 1447H berjalan lancar dan setakat ini, sebanyak 99 penerbangan sewa khas disediakan melalui AMAL by Malaysia Airlines dan Saudia Airlines dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) telah selamat tiba di Lapangan Terbang Madinah dan Jeddah.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Zulkifli Hasan berkata, penerbangan terakhir Saudia Airlines dari KLIA dengan 357 jemaah akan berlepas jam 5.35 petang (waktu Malaysia) dan dijangka tiba esok kira-kira jam 9.10 malam (waktu tempatan).
“Dengan ketibaan penerbangan terakhir esok, menandakan keseluruhan 100 penerbangan telah selamat mendarat dan kesemua 31,600 jemaah haji Malaysia telah berada di Tanah Suci bagi menunaikan ibadah haji untuk tahun ini,” katanya pada sidang media lewat malam tadi.
Hadir sama Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH), Tan Sri Rashid Hussain; Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif, Mustakim Mohamad, Ketua Rombongan Haji Malaysia, Mohd Hisham Harun dan Konsul Jeneral Malaysia di Jeddah, Tengku Mohd Dzaraif Raja Abdul Kadir.
Zulkifli berkata, rata-rata jemaah haji Malaysia dalam keadaan baik dan bersedia untuk operasi masyair, iaitu hari kemuncak haji yang akan menjelang tiba tidak lama lagi.
Tambahnya, persediaan operasi masyair sedang dalam persiapan akhir bagi menyambut jemaah haji Malaysia bermula Rabu, 25 Jun 2026 bersamaan 8 Zulhijjah.
“Oleh itu, semua jemaah perlu menjaga kesihatan diri, lebih-lebih lagi ketika menjelang hari wukuf beberapa hari sahaja lagi,” pesan beliau.
Tambahan pula, menurut beliau, cuaca sepanjang musim haji kali ini boleh mencecah lebih 40 darjah celsius terutamanya waktu berwukuf nanti.
Beliau menasihatkan para jemaah untuk kekal berada di dalam khemah supaya tidak terdedah kepada terik matahari dan risiko tekanan haba serta minum air secukupnya bagi mengelakkan dehidrasi.
“Sama-sama berdoa agar perjalanan haji tahun ini dipermudahkan oleh Allah SWT.
“Semoga semua jemaah haji diberikan kesihatan terbaik, pulang ke pangkuan keluarga dengan haji yang Mabrur, Insya-Allah,” ujar beliau. – MalaysiaGazette
















