KEPALA BATAS – Polis mengesahkan sedang menjalankan siasatan berhubung kejadian seorang lelaki dipercayai melarikan seutas rantai tangan selepas menyamar sebagai pelanggan di sebuah kedai emas di Jalan Dato Kailan, di sini, hari ini.
Timbalan Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Superintenden C. Tharmalingam berkata, siasatan lanjut berhubung kes tersebut sedang dijalankan.
MalaysiaGazette difahamkan, peniaga lelaki berusia 36 tahun membuat laporan seutas rantai tangan yang dianggarkan bernilai RM3,000 dilarikan suspek kira-kira jam 10.55 pagi.
Terdahulu tular rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) berdurasi 17 saat memaparkan seorang lelaki berusia 40-an menyamar sebagai pelanggan sebelum melarikan seutas rantai tangan di premis berkenaan.
Difahamkan, lelaki berkenaan hadir ke premis itu bersama anak perempuannya pada Sabtu lalu tanpa membuat sebarang pembelian sebelum kembali semula hari ini kononnya untuk melihat semula barang kemas. – MalaysiaGazette
















