Wong Siew Ki. foto FAREEZ FADZIL, 23 OGOS 2019 (GAMBAR FAIL)

KUALA LUMPUR – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Kembangan, Wong Siew Ki menjunjung tinggi titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berhubung penghayatan terhadap Rukun Negara.

Siew Ki menerusi Facebook hari ini berkata, sebagai wakil rakyat, prinsip-prinsip Rukun Negara sentiasa menjadi panduan, inspirasi, dan asas utama beliau dalam memikul amanah serta berkhidmat untuk seluruh rakyat.

Beliau turut memuat naik lima prinsip Rukun Negara menerusi hantaran sama iaitu Kepercayaan kepada Tuhan; Kesetiaan kepada Raja dan Negara; Keluhuran Perlembagaan; Kedaulatan Undang-Undang dan Kesopanan dan Kesusilaan.

“Patik amat menghormati dan sentiasa mematuhi prinsip-prinsip ini dalam setiap tindakan patik demi mengutamakan kepentingan rakyat Selangor dan Malaysia.

“Daulat Tuanku,” katanya.

Semalam, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah menyarankan Siew Ki dan bekas Exco DAP Selangor, Ronnie Liu datang seminggu sekali ke Dataran Selangor untuk memahami dah menghayati makna Rukun Negara.

Titah baginda, ia supaya mereka menjadi rakyat yang tahu untuk hormat kepada kedaulatan Institusi Raja dan menjaga adab kesopanan dan kesusilaan.

Sebelum ini, Siew Ki dan Ronnie Liu mencetuskan rasa tidak puas hati banyak pihak khususnya orang Melayu dan umat Islam berhubung kenyataan mereka berkenaan projek ternakan babi di Selangor yang disifatkan seolah-olah penderhakaan kepada Sultan Sharafuddin. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast