KUALA LUMPUR – Semua parti komponen di bawah Kerajaan Perpaduan sekali lagi menyatakan komitmen dan sokongan agar pentadbiran negara diteruskan sehingga tamat penggal, kata Jurucakap kerajaan, Datuk Fahmi Fadzil.
Menurut beliau, komitmen itu mencerminkan keutamaan diberikan terhadap kepentingan rakyat dan negara.
Ia sekali gus membolehkan kerajaan memberi tumpuan penuh kepada usaha menangani cabaran ekonomi susulan krisis di Asia Barat serta memastikan kebajikan rakyat terus terpelihara.
Menurut Fahmi, isu kemungkinan Pilihan Raya Umum (PRU) diadakan lebih awal, disentuh sendiri oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada mesyuarat tersebut.
“Perdana Menteri ada bercakap mengenai soal PRU awal semasa Konvensyen Pakatan Harapan, Ahad lalu. Maka, beliau memaklumkan perkara itu kepada Jemaah Menteri, hari ini.
“Parti komponen dalam Kerajaan Persekutuan menyatakan mereka berhasrat untuk terus memberi sokongan kepada Kerajaan Perpaduan sehingga akhir penggal, jadi komitmen itu diulangi dalam mesyuarat Jemaah Menteri hari ini.
Menteri Komunikasi itu berkata demikian ketika menjawab pertanyaan media dalam sidang media mingguan selepas mesyuarat Kabinet yang diadakan, hari ini.
Sementara itu, Fahmi berkata, Mesyuarat Kabinet hari ini turut dimaklumkan mengenai persiapan untuk sidang Dewan Rakyat pada 22 Jun depan.
Ia susulan tindakan dua Ahli Parlimen kerajaan iaitu Datuk Seri Rafizi Ramli (Pandan) dan Nik Nazmi Nik Ahmad (Setiawangsa) yang mengosongkan kerusi mereka berkuat kuasa Isnin lalu.
Rafizi yang juga bekas Menteri Ekonomi dan Nik Nazmi selaku bekas Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam menghantar surat kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Dr Johari Abdul pada Isnin lalu, memaklumkan peletakan jawatan masing-masing sebagai Ahli Parlimen Pandan serta Setiawangsa.
Rafizi yang juga bekas Timbalan Presiden PKR dan Nik Nazmi yang juga bekas Naib Presiden PKR dalam satu kenyataan bersama, berkata pengosongan kerusi Parlimen itu dibuat berikutan hasrat mereka berdua untuk meneroka hala tuju politik baharu. -MalaysiaGazette
















