KUALA LUMPUR – Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Datuk Ibrahim Ali menggesa Tony Pua supaya menghentikan “helah politik” dan tidak memperlekeh titah sultan dengan berselindung di sebalik istilah Raja Berperlembagaan.
Beliau berkata, tindakan melabel titah sultan sebagai “bukan decree” bukan sekadar hujah undang-undang, sebaliknya dianggap merendahkan konvensyen Perlembagaan yang menjadi asas kestabilan negara dan institusi raja-raja Melayu.
Menurutnya, walaupun kuasa raja mempunyai batas dalam sistem monarki berperlembagaan, ia tidak menafikan kedudukan raja sebagai simbol kedaulatan negara serta payung kepada rakyat.
“Perlembagaan bukan sekadar teks undang-undang, tetapi hidup bersama adat, tradisi dan Rukun Negara. Kesetiaan kepada Raja dan Negara bukan slogan, sebaliknya asas penting yang mengikat sistem negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ibrahim mendakwa, kenyataan Tony Pua gagal membezakan antara kuasa perundangan dan legitimasi institusi diraja, selain disifatkan sebagai cubaan menormalisasikan sikap sinis terhadap Raja-Raja Melayu.
Beliau turut menegaskan bahawa, kebebasan bersuara perlu disertai adab serta tanggungjawab dalam kerangka Perlembagaan negara.
“Kebebasan tanpa adab adalah pintu kepada keruntuhan institusi. Dalam negara ini, undang-undang, adat dan kedaulatan raja bergerak bersama,” katanya.
Dalam masa sama, beliau mengingatkan semua pihak agar memahami sejarah serta menghormati institusi raja Melayu sebagai tunjang negara sejak era Persekutuan Tanah Melayu.
Ibrahim yang juga Penyelaras Sekretariat Rakyat Bertindak berkata, mana-mana pihak tidak seharusnya menggunakan Perlembagaan sebagai alasan untuk bersikap biadab terhadap institusi diraja.
“Jangan uji kesabaran orang Melayu yang taat kepada raja. Titah adalah kerja raja yang mesti disempurnakan,” katanya. – MalaysiaGazette















