KUALA LUMPUR – Ahli perniagaan, Albert Tei Jiann Cheing mempersoalkan tindakan pihak berkuasa yang didakwa masih belum memanggil Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi membantu siasatan berhubung video tular yang mengaitkan dakwaan wang dihantar ke Afrika, walaupun beberapa individu lain telah pun diambil keterangan.
Menurut Albert Tei, beliau hadir ke Ibu Pejabat Polis Bukit Aman hari ini selepas dipanggil Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) untuk memberi keterangan berkaitan video tular sejak 22 April lalu yang turut menyebut namanya bersama Sofia Rini Buyong, ahli perniagaan, Datuk Seri Farhash Wafa Salvador dan Anwar.
Katanya, beliau dimaklumkan bahawa Farhash telah pun memberi keterangan manakala Sofia Rini juga sudah disiasat pihak polis.
“Dalam video itu empat nama disebut iaitu saya, Sofia Rini, Farhash dan Anwar. Hari ini giliran saya memberi keterangan. Persoalannya, bila Anwar akan dipanggil?” katanya kepada media di luar Bukit Aman yang turut dimuat naik di laman perkongisian video (Youtube) hari ini.
Albert Tei turut mempersoalkan sama ada Perdana Menteri mempunyai kedudukan istimewa sehingga masih belum dipanggil membantu siasatan.
“Polis perlu jelaskan mengapa Anwar masih belum dipanggil. Tak kan PM mempunyai kedudukan istimewa dan berada lebih atas daripada undang-undang?” katanya lagi.
Sebelum ini, video tular berkenaan memaparkan Sofia Rini mendakwa seorang individu bernama “Anwar” mengarahkan individu dikenali sebagai “Farhash” mencuri wang untuk dihantar ke Afrika.
Untuk rekod, Albert pada 5 Mei lalu telah membuat laporan polis bagi mendesak siasatan dibuka terhadap Anwar dan Farhash berhubung dakwaan tersebut.
Dalam laporan itu, beliau turut mendakwa kedua-dua individu terbabit tidak mengambil sebarang tindakan undang-undang atau membuat laporan polis terhadap Sofia Rini selepas dakwaan berkenaan tular.
Difahamkan, Farhash turut membuat laporan polis pada hari sama.
Terdahulu, Anwar menafikan sekeras-kerasnya dakwaan bahawa beliau pernah mengarahkan Farhash mencuri wang dan menyembunyikannya di Afrika.
Beliau turut meminta media tidak melayan tuduhan tersebut serta menegaskan bahawa pihak yang membuat dakwaan perlu mengemukakan bukti.
Albert Tei hadir memberi keterangan bersama peguamnya, Mahajoth Singh. – MalaysiaGazette
















