KUALA LUMPUR – Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pandan menegaskan kekuatan Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Parlimen Pandan masih kukuh meskipun berdepan tindakan keluar parti melibatkan beberapa pimpinan sayap pemuda cabang itu susulan kemelut politik membabitkan bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli.

Ketua AMK Pandan, Mohd Ifwat Amir Hamirudin berkata, pihaknya menghormati keputusan mana-mana individu yang memilih meninggalkan parti, namun menegaskan perjuangan reformasi yang diasaskan PKR tidak akan terhenti hanya kerana tindakan segelintir pihak.

Menurut beliau, perubahan dalam organisasi politik merupakan perkara biasa dan tidak akan menggugat kekuatan asas parti yang dibina melalui komitmen anggota serta sokongan rakyat.

“Gerak kerja parti di Pandan berjalan seperti biasa dan fokus kami kekal untuk memperkukuh organisasi serta terus mendampingi rakyat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau turut menegaskan AMK Pandan akan terus berdiri teguh bersama kepimpinan parti selain mempertahankan kerusi Parlimen Pandan selaras dengan saranan Presiden PKR merangkap Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Kenyataan itu dibuat hanya beberapa jam sebelum Timbalan Ketua AMK Pandan, Muhammad Haqimi Mohd Zamri mengumumkan peletakan jawatannya bersama 18 lagi ahli jawatankuasa cabang berkenaan dalam satu sidang media khas di ibu negara.

Muhammad Haqimi mendakwa tindakan tersebut menyebabkan struktur kepimpinan AMK Pandan hilang kuorum dan terbubar secara automatik mengikut peruntukan Perlembagaan PKR serta Peraturan Tetap AMK.

Katanya, daripada jumlah yang meletakkan jawatan itu, 14 individu turut mengambil keputusan meninggalkan PKR.

“Selaras dengan Fasal 15.11 Peraturan Tetap AMK dan Fasal 37.12 Perlembagaan PKR yang dibaca bersama Fasal 32.4, struktur kepimpinan AMK Pandan kini hilang quorum dan terbubar secara automatik,” dakwanya.

Beliau mendakwa, keputusan tersebut dibuat selepas hilang keyakinan terhadap hala tuju PKR sejak pemilihan parti tahun lalu yang menurutnya telah dimanipulasi demi kepentingan pihak tertentu.

Muhammad Haqimi turut mengaitkan beberapa isu nasional termasuk dakwaan rasuah melibatkan kelompok rapat Perdana Menteri sebagai antara faktor mereka mengambil keputusan meninggalkan parti dan memilih untuk terus bersama Rafizi.

Dalam pada itu, beliau turut menyindir beberapa pemimpin di Pandan yang didakwa sebelum ini mendapat manfaat daripada pengaruh Rafizi untuk memenangi jawatan dalam parti, namun kini memilih untuk menyokong kem berbeza apabila kedudukan dan kuasa menjadi keutamaan.

Menurutnya lagi, terdapat juga individu yang berubah pendirian selepas kehilangan jawatan ahli majlis meskipun sebelum ini dilantik atas sokongan Rafizi sendiri.

Muhammad Haqimi yang juga bekas pegawai khas Rafizi di Kementerian Ekonomi turut memberi bayangan lebih ramai ahli akar umbi PKR di Pandan akan meninggalkan parti dalam masa terdekat untuk menyertai Parti Bersama Malaysia (Bersama), yang kini diterajui Rafizi bersama bekas Naib Presiden PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad.

“Kami akan menggerakkan lebih ramai anggota akar umbi termasuk lebih 200 ahli PKR di Pandan untuk keluar parti dan menyertai Bersama dalam masa terdekat,” katanya.

Kemelut yang berlaku di Pandan kini dilihat menjadi antara cabaran terbesar buat PKR selepas pengunduran Rafizi dan Nik Nazmi daripada parti serta peletakan jawatan mereka sebagai Ahli Parlimen Pandan dan Setiawangsa.

Perkembangan itu turut mencetuskan persoalan sama ada pengaruh Rafizi di Pandan masih mampu diterjemahkan di luar PKR ketika kedua-dua kem mula menyusun kekuatan menjelang kemungkinan pilihan raya kecil di kawasan berkenaan.

Dalam perkembanbangan berkaitan Mohd Ifwat menolak keras dakwaan kononnya AMK Pandan telah terbubar susulan tindakan 19 individu yang didakwa sebagai pimpinan cabang meletakkan jawatan.

Beliau berkata, kenyataan yang dikeluarkan oleh mantan Timbalan Ketua AMK Pandan, Haqimi Zamri itu adalah terpesong daripada fakta sebenar serta mengelirukan, sekaligus boleh menimbulkan kekeliruan dalam kalangan ahli dan penyokong parti.

“Sebahagian individu yang membuat kenyataan keluar parti hari ini bukanlah mereka yang dikenali atau terlibat secara aktif dalam gerak kerja parti. Malah, angka 19 yang disebut juga tidak selari dengan jumlah sebenar yang hadir dalam pengumuman terbabit,” katanya.

Mengulas lanjut, Mohd Ifwat menegaskan bahawa, status pembubaran mana-mana sayap parti tidak boleh diputuskan oleh individu atau bekas ahli, sebaliknya tertakluk kepada peruntukan Perlembagaan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

“Seharusnya mantan Timbalan Ketua AMK Pandan merujuk semula Perlembagaan Keadilan. Kuasa menentukan sama ada sesuatu cabang atau sayap terbubar terletak sepenuhnya di bawah bidang kuasa pimpinan pusat parti,” jelas beliau.

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan bekas pemimpin tersebut agar memberi tumpuan terhadap penglibatan dalam parti baharu yang disertainya serta menunjukkan komitmen berterusan dalam perjuangan politik.

“Saya berharap beliau terus cekal bersama parti baharu dan tidak mengulangi sikap ‘merajuk’ seperti yang pernah berlaku sebelum ini ketika memegang jawatan penting dalam AMK Pandan,” katanya.

Mohd Ifwat Amir turut menekankan bahawa kepimpinan memerlukan jiwa besar serta komitmen tinggi dalam berkhidmat kepada rakyat, bukan bersifat bermusim atau didorong kepentingan peribadi.

“Khidmat kepada rakyat bukan perkara sementara. Ia menuntut kesungguhan dan tanggungjawab kerana setiap jawatan membawa amanah yang besar,” ujarnya.

Beliau menegaskan bahawa, AMK Pandan kekal kukuh dan utuh bersama perjuangan parti serta optimis untuk terus melangkah ke hadapan dalam memperjuangkan agenda reformasi.

“Perjuangan reformasi akan kami teruskan tanpa mereka yang memilih untuk meninggalkan wadah ini. Fokus kami adalah memperkukuhkan parti dan berkhidmat kepada rakyat, bukannya mengejar populariti murahan yang akhirnya memalukan diri sendiri,” katanya.

Beliau turut menegaskan komitmen berterusan AMK Pandan untuk mempertahankan prinsip perjuangan.

Sebelum ini, Haqimi dalam satu sidang media mendakwa AMK cabang Pandan telah terbubar selepas 19 daripada ahli jawatankuasanya meletakkan jawatan.

Haqimi turut mengumumkan peletakan jawatan serta keluar daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) berkuat kuasa serta-merta.

Menurut Haqimi, tindakan tersebut diambil bersama beberapa ahli jawatankuasa lain yang turut mengambil langkah sama, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai kedudukan semasa kepimpinan AMK di cabang berkenaan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast