Tangkap layar dua kenderaan melakukan kegiatan curi kabel di Jalan Zahra 1, Semenyih.

KUALA LUMPUR – Empat individu termasuk seorang wanita ditahan dipercayai terlibat kegiatan mencuri kabel menggunakan dua kenderaan di Jalan Zahra 1, Semenyih dekat sini semalam.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazroon Adbul Yusof berkata, pihaknya telah menerima laporan daripada penghuni perumahan itu berhubung kejadian itu sekitar 8.29 pagi.

“Bertindak atas laporan, sepasukan pegawai dari Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Kajang telah menahan tiga lelaki dan seorang wanita berusia antara 24 hingga 39 tahun merupakan pengangur.

“Tangkapan dibuat di sekitar Batu 9 dan Batu 14 Hulu Langat serta merampas dua motosikal jenis Honda Jazz warna putih dan Perodua Myvi warna biru dipercayai digunakan semasa kejadian.

“Turut dirampas beberapa bahan bukti lain yang digunakan suspek ketika melakukan perbuatan itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Naazroon, kesemua suspek kini direman tiga hari bagi bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana melakukan perbuatan curi.

“Semakan mendapati, suspek pertama mempunyai 24 rekod jenayah dan 10 rekod narkotik manakala suspek kedua memilik 10 rekod jenayah dan empat rekod narkotik.

“Suspek ketiga pula mempunyai lima rekod jenayah dan enam rekod narkotik sementara suspek keempat mempunyai tiga rekod narkotik,” ujarnya.

Beliau juga merakamkan penghargaan kepada orang awam yang menyalurkan maklumat dan menyeru masyarakat agar terus bekerjasama memberi maklumat berkaitan kegiatan jenayah dengan menghubungi talian NG MERS 999 atau Pusat Kawalan Daerah Kajang di talian 03-89114243. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast