KUALA LUMPUR – Kekerapan gangguan teknikal dan kerosakan sistem pengangkutan awam utama seperti LRT dan MRT di Lembah Klang perlu ditangani secara lebih sistemik dan telus.
Ia termasuk memperkukuh akauntabiliti Kementerian Pengangkutan (MOT) serta mempertimbang langkah kerja fleksibel oleh majikan ketika gangguan besar berlaku.
Ketua Portfolio Pengangkutan Perikatan Nasional (PN), Datuk Ir Khairil Nizam Khirudin berkata, insiden gangguan yang berlaku terutama pada waktu puncak bukan sahaja menjejaskan pergerakan rakyat malah memberi implikasi terhadap produktiviti ekonomi negara serta keyakinan pengguna terhadap sistem pengangkutan awam.
Menurut beliau, rangkaian rel bandar kini menjadi nadi utama mobiliti warga kota dengan ratusan ribu hingga lebih sejuta perjalanan harian bergantung kepada sistem LRT, MRT, Monorel dan BRT.
“Apabila sistem terganggu, kesannya dirasai secara langsung oleh rakyat khususnya golongan pekerja dan generasi sandwich yang sedang berdepan tekanan kos sara hidup, kesesakan jalan raya dan cabaran mengimbangi tuntutan pekerjaan serta keluarga,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, gangguan berulang tidak boleh dilihat sekadar isu operasi harian, sebaliknya petunjuk bahawa sistem pengangkutan rel negara memerlukan penambahbaikan yang lebih menyeluruh dan berstruktur.
Katanya, sistem rel bandar memerlukan disiplin penyelenggaraan kitaran hayat yang ketat, pemantauan prestasi aset secara berterusan serta pelaburan penyelenggaraan yang mampan.
“Sebarang kegagalan teknikal perlu ditangani melalui pendekatan kejuruteraan dan pengurusan aset yang menyeluruh, bukan sekadar penyelesaian jangka pendek,” katanya.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan empat langkah segera bagi memperkukuh kecekapan sistem pengangkutan awam negara.
Antaranya ialah Prasarana perlu memperketat sistem pemantauan dan melaksanakan audit teknikal secara berkala bagi memastikan tahap kesihatan aset, sistem isyarat, rolling stock dan infrastruktur kritikal sentiasa berada pada tahap optimum.
Selain itu, MOT disaran mewujudkan mekanisme akauntabiliti yang lebih telus melalui pelaporan prestasi awam secara berkala merangkumi kadar ketepatan masa, kekerapan gangguan, tempoh pemulihan dan indikator prestasi utama yang boleh dinilai rakyat.
Beliau berkata, antara indikator yang boleh dipertimbangkan termasuk kadar ketepatan masa perkhidmatan, Mean Distance Between Failure (MDBF), tempoh pemulihan gangguan serta tahap availability sistem.
Khairil Nizam turut menekankan keperluan pelan penyelenggaraan dan peningkatan infrastruktur jangka panjang dengan pendekatan lebih mampan serta berpandangan jauh bagi memenuhi peningkatan permintaan pengguna.
Dalam pada itu, beliau turut menggesa majikan mempertimbangkan pelaksanaan sementara mod kerja hibrid atau waktu kerja fleksibel ketika gangguan besar atau berpanjangan berlaku.
Katanya, langkah itu mampu mengurangkan kesan terhadap produktiviti dan kesejahteraan pekerja.
“Tuntasnya, rakyat tidak menuntut sistem yang sempurna, namun mereka berhak mendapat sistem pengangkutan awam yang boleh dipercayai, selamat dan konsisten,” katanya. – MalaysiaGazette
















