Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengeluarkan Tuntutan Statutori terhadap TikTok kerana gagal menyekat dan menurunkan kandungan bersifat jelik melampau, palsu dan mengancam serta akaun palsu yang ditujukan terhadap Institusi Diraja Malaysia.

Jelasnya, ia susulan penularan kandungan yang dikaitkan dengan satu akaun yang kononnya berkaitan dengan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.

Katanya, tuntutan itu menghendaki TikTok melaksanakan langkah pembetulan segera termasuk memperkukuhkan mekanisme pemantauan dan pengendalian kandungan.

Dalam masa yang sama TikTok katanya lagi dikehendaki memberikan penjelasan rasmi berhubung kegagalan menangani kandungan mudarat tersebut.

“TikTok juga dikehendaki untuk memastikan penguatkuasaan yang lebih berkesan terhadap kandungan yang melanggar undang-undang Malaysia dan garis panduan komuniti platform,” katanya menerusi kenyataan.

Terdahulu MCMCM berkata, kandungan tersebut juga memuat turun video janaan menggunakan kecerdasan buatan (Al) serta imej yang dimanipulasi yang bukan sahaja berkemungkinan melanggar Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM 1998), tetapi juga undang-undang jenayah lain di Malaysia.

“MCMC memandang serius sebarang penyalahgunaan platform dalam talian bagi menyebarkan kandungan yang jelik melampau, palsu, berunsur ancaman atau memudaratkan ketenteraman awam, khususnya apabila melibatkan institusi Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu,” ujarnya.

Jelasnya MCMC, kandungan berkenaan  tergolong dalam konteks 3R (Kaum, Agama dan Institusi Diraja) yang amat sensitif dan boleh menjejaskan ketenteraman awam, keharmonian negara serta penghormatan terhadap Institusi Perlembagaan.

Menurut suruhanjaya itu, walaupun makluman dan libat urus telah dilaksanakan, namun respons TikTok dalam menangani kandungan tersebut didapati tidak memuaskan, khususnya dalam memastikan penurunan kandungan dilakukan dengan segera serta menghalang penyebaran lanjut kandungan memudaratkan tersebut.

“Sebagai platform yang menyediakan perkhidmatan media sosial di Malaysia, pemberi perkhidmatan mempunyai tahap tanggungjawab yang lebih tinggi dalam memastikan perkhidmatan mereka tidak dieksploitasi bagi aktiviti-aktiviti yang memudaratkan dan menyalahi undang-undang,” katanya lagi. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast