KUALA LUMPUR – Sayap Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR) mendesak enam Ahli Parlimen keluar daripada parti itu atau berdepan tindakan disiplin segera.
Ketegasan itu ditujukan kepada Ahli Parlimen Ampang, Rodziah Ismail; Wong Cheng (Subang); Muhammad Bakhtiar Wan Chik (Balik Pulau); Zahir Hassan (Wangsa Maju); Kesavan Subramaniam (Sungai Siput) dan Lee Chean Chung (Petaling Jaya).
Setiausaha Wanita PKR, Sangetha Jayakumar berkata, pihaknya memandang serius terhadap tindakan dan pendekatan politik “dua kolam” atau bermuka-dua yang dilihat sedang dimainkan oleh segelintir pemimpin.
Ujarnya, permainan politik seumpama itu bukan sahaja menjejaskan kestabilan parti, malah mengkhianati kepercayaan anggota akar umbi yang telah bertungkus-lumus membina wadah perjuangan PKR.
Sehubungan itu, katanya, Wanita PKR mendesak kesemua Ahli Parlimen berkenaan menghentikan serta-merta sebarang gerakan politik yang berpaksikan kepentingan peribadi mahupun cubaan bermain di dua alam parti yang berbeza.
“Kehadiran mereka di majlis pengumuman pengumuman pimpinan Parti Bersama Malaysia menyebabkan kedudukan dan kesetiaan mereka dipersoal oleh kepimpinan serta akar umbi KEADILAN,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambah beliau, sekiranya idealisme dan hala tuju masa depan individu-individu terbabit sudah tidak lagi selari dengan prinsip institusi Presiden dan indeks petunjuk prestasi (KPI) perjuangan PKR, maka jalan paling terhormat adalah untuk mereka melepaskan keanggotaan parti secara sukarela dengan serta-merta tanpa perlu terus menjadi duri dalam daging.
Tegas beliau, sekiranya desakan itu tidak diendahkan dan tindakan berbaur khianat terus berlarutan, Wanita PKR tidak akan teragak-agak untuk mendesak Lembaga Disiplin Parti dan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) mengambil tindakan paling tegas, termasuk memecat keanggotaan mereka demi menjaga keutuhan serta kesucian perjuangan parti.
“KEADILAN tidak dibina untuk menjadi batu loncatan bagi mana-mana individu yang mahu mengutamakan kelangsungan politik peribadi melebihi agenda besar rakyat dan parti.
“Pengajaran lalu telah mematangkan kita tiada ruang lagi untuk pengkhianatan berbentuk baharu di dalam rumah Reformasi ini,” katanya. – MalaysiaGazette
















