Datuk N Sivakumar

KUALA LUMPUR – Presiden Persatuan Dinamik Sinar Kasih, Datuk N. Sivakumar menegaskan rakyat tidak sepatutnya terpaksa menunggu lebih sedekad hanya untuk menikmati kemudahan asas seperti bekalan elektrik.

Beliau berkata, isu melibatkan penduduk di Pahang yang didakwa menunggu sehingga 13 tahun untuk mendapatkan bekalan elektrik menimbulkan persoalan besar mengenai keberkesanan sistem penyampaian serta tindakan pihak berkaitan.

“Saya ingin merakamkan penghargaan terhadap sikap prihatin dan rendah diri kepimpinan negara yang sanggup turun padang serta mendengar sendiri rintihan rakyat berhubung isu bekalan elektrik di Pahang.

“Tindakan seperti ini membuktikan bahawa suara rakyat masih diberi perhatian dan tidak dipandang ringan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sivakumar mengulas laporan MalaysiaGazette tentang kisah sebuah keluarga di Kampung Kuala Sat, Ulu Tembeling yang hidup tanpa bekalan elektrik selama hampir 13 tahun mencuri perhatian rakyat dan tular di media sosial.

Tular video seorang lelaki bersama isteri dan anaknya mengangkat sepanduk bertulis “Ampun Tuanku mohon berhenti sekejap ” di tepi jalan ketika konvoi diraja melalui Kampung Kuala Sat di Jerantut pada Ahad lalu menjadi tular dan mengundang simpati ramai.

Konvoi Sultan Pahang kemudian dilihat berhenti sebelum lelaki berkenaan mengadu nasibkesukaran hidup mereka tanpa bekalan elektrik belasan tahun yang akhirnya mendapat perhatian sewajarnya tanpa disangka

Susulan insiden itu, Tenaga Nasional Berhad (TNB) hari ini mengesahkan keria-keria pemasangan infrastruktur elektrik di kawasan berkenaan sudah bermula.

Bagaimanapun, Sivakumar berkata, persoalan lebih besar yang perlu diberi perhatian ialah bagaimana masalah melibatkan kemudahan asas masih gagal diselesaikan walaupun negara sedang menuju status negara maju.

Menurutnya, keadaan itu jelas menunjukkan masih wujud kelemahan dalam sistem penyampaian, pemantauan dan tindakan di peringkat tertentu sehingga masalah rakyat berlarutan terlalu lama tanpa penyelesaian menyeluruh.

“Rakyat berhak mengetahui di mana berlakunya kegagalan tersebut dan siapakah yang sepatutnya memainkan peranan lebih berkesan dalam membawa suara rakyat, sama ada wakil rakyat, pihak pentadbiran mahupun agensi berkaitan,” katanya.

Beliau turut menyifatkan isu seperti itu bukan sesuatu yang terpencil kerana masih terdapat rakyat di beberapa kawasan berdepan masalah asas melibatkan bekalan elektrik, air, jalan raya dan capaian kemudahan awam.

Katanya, dalam era pembangunan pesat dan kemajuan teknologi hari ini, tiada rakyat seharusnya terus tercicir daripada menikmati keperluan asas yang menjadi hak setiap warga negara.

Dalam pada itu, Sivakumar berkata, keprihatinan terhadap kesusahan rakyat tidak seharusnya dibatasi oleh sempadan negeri, bangsa atau latar belakang politik.

“Apabila rakyat hidup dalam kesusahan selama bertahun tahun tanpa pembelaan sewajarnya, ia bukan lagi sekadar isu tempatan tetapi isu kemanusiaan yang perlu diberi perhatian oleh semua pihak,” katanya.

Beliau turut mengingatkan rakyat tidak mahu masalah mereka hanya mendapat perhatian selepas tular di media sosial atau selepas mendapat perhatian pemimpin tertinggi negara.

“Apa yang rakyat harapkan ialah tindakan lebih awal, sistem penyampaian yang cekap serta penyelesaian yang benar benar memberi manfaat kepada kehidupan mereka,” katanya. -MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

TNB mula pasang tiang elektrik selepas kes sepanduk kepada Sultan Pahang tular

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast