KUALA LUMPUR – Sebanyak tiga cadangan penambahbaikan tatakelola dibentangkan berkaitan amalan, sistem dan tatacara kerja pengurusan kenderaan perdagangan oleh Bahagian Penyiasatan Tatakelola (BPT) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kepada Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).
Cadangan pertama adalah APAD mengeluarkan arahan mandatori yang mewajibkan syarikat pengendali kenderaan perdagangan membuat semakan rekod Lesen Memandu Barangan (GDL) dan Lesen Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSV) pemandu melalui Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sebagai syarat pengambilan pemandu.
Bagi cadangan kedua, membabitkan pembangunan sistem pangkalan data pemandu bersepadu melibatkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan agensi berkaitan bagi merekod serta menjejak sejarah lesen GDL dan PSV pemandu, termasuk jenis kesalahan, status penggantungan dan kelayakan, bagi tujuan tapisan pengambilan kerja, pemantauan dan penguatkuasaan.
Cadangan ketiga pula iaitu mewujudkan aplikasi pengisytiharan kendiri (self-declaration) oleh pemandu kenderaan perdagangan sebelum dan selepas pemanduan yang menekankan konsep ‘fit to work’, pengurusan risiko sebelum tugas serta pengesahan pematuhan keselamatan secara digital.
Jelasnya kenyataan itu, kesemua syor itu disampaikan oleh Ketua Cawangan BPT SPRM, Nik Nor Azleen Mohammed pada sesi pembentangan di Bilik Mesyuarat Perdana, Ibu Pejabat APAD, Putrajaya, kelmarin.
Sementara itu, Ketua Pengarah APAD, Ahmad Radhi Maarof menyambut baik cadangan dikemukakan SPRM dan menyatakan komitmen untuk meneliti syor-syor tersebut bagi memperkukuh aspek keselamatan serta tadbir urus pengurusan kenderaan perdagangan.
Komitmen itu turut dizahirkan melalui Majlis Menandatangani Laporan Penambahbaikan Tatakelola yang disempurnakan oleh Ahmad Radhi dan disaksikan oleh Timbalan Pengarah II BPT SPRM, Ahmad Shukri Mohamad Taib.
Cadangan penambahbaikan itu adalah berdasarkan susulan beberapa insiden kemalangan maut melibatkan kenderaan berat seperti lori dan bas yang telah mencetuskan kebimbangan masyarakat serta menjadi isu nasional.
Kajian tersebut bertujuan mengenal pasti ruang penambahbaikan dalam amalan, sistem dan tatacara kerja sedia ada bagi memperkukuh aspek keselamatan serta keberkesanan pelaksanaan fungsi kawal selia oleh APAD.
Inisiatif ini mencerminkan komitmen berterusan SPRM dalam memperkasakan tadbir urus sektor awam melalui pendekatan pencegahan dan penambahbaikan tatakelola bagi meningkatkan integriti, kecekapan penyampaian perkhidmatan serta keyakinan rakyat terhadap institusi kerajaan. – MalaysiaGazette
















